Anda di sini

Jangan teroka Sembarangan

 

 Abang Johari pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Perhimpunan Agung PBB Ke-14 semalam.
PERLU PATUH: Abang Johari pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Perhimpunan Agung PBB Ke-14 semalam.

Syarikat luar termasuk Petronas harus patuhi Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958.
KUCHING: Syarikat luar termasuk Petronas yang mahu bergiat dalam industri minyak dan gas di Sarawak harus mematuhi undang-undang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Beliau berkata ordinan berkenaan akan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya ia adalah antara tiga persetujuan dan kejayaan yang dicapai semasa Perhimpunan Agung PBB Ke-14 yang berakhir semalam.

"Kita bersetuju di bawah Perlembagaan Persekutuan, permit dan lesen untuk sebarang aktiviti melombong adalah dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ini bermakna,Petronas mahupun mana-mana syarikat luar yang mahu melakukan aktiviti perlombongan termasuk minyak dan gas di Sarawak harus mematuhi undang-undang negeri. Selama ini kita tidak menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak Negeri Sarawak," tegasnya.

Sehubungan itu katanya, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan memainkan peranan aktif dalam industri minyak dan gas seperti termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 Sarawak.

"Kita melihat dari sudut peruntukan perundangan, merujuk kepada Jadual 8(j) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 2(c) dalam ‘senarai negeri' termasuk pembangunan sumber-sumber mineral, lombong, perlombongan minyak dan sebagainya, membeli, menjual, import dan eksport, peraturan buruh dan keselamatan dalam perlombongan, ini adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri.

"Bermakna dari sudut usaha industri minyak dan gas di bawah senarai negeri. Sebab itu, berdasarkan peruntukan tersebut dan Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958, saya telah memberi lesen dan pajakan kepada Petros di bawah Seksyen 27 ordinan ini," katanya.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  Petros telah dilantik namun tidak didedahkan ketika ini.