Anda di sini

Komited bincang MA63

Advertisement
 Najib bersama Abang Johari, Uggah, Awang Tengah, Masing dan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian serta pemimpin lain pada majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB di Kuching, semalam.
CONTOHI PBB: Najib bersama Abang Johari, Uggah, Awang Tengah, Masing dan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian serta pemimpin lain pada majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB di Kuching, semalam.

Najib tubuh Jawatankuasa Peringkat Tinggi kerajaan persekutuan bincang proses kembalikan hak Sarawak.

KUCHING: Bagi membuktikan komitmen serius terhadap proses perbincangan mengembalikan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia (MA63), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi kerajaan persekutuan.

 Najib berkata, jawatankuasa itu kelak akan berbincang dengan Jawatankuasa Peringkat Tinggi yang ditubuhkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan terdiri daripada timbalan-timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

 “Jangan risau (Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg), kita di peringkat persekutuan akan menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi.

 “Kita bincang baik-baik dan selesaikan cara baik.

 Barisan Nasional (BN) memperjuangkan hak rakyat Sarawak (yang mungkin terambil secara sengaja atau tidak sengaja),” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 di sini, semalam.

 Menurutnya, apa yang penting ialah BN berjuang demi hak Sarawak sekali gus bakal memberi keceriaan kepada rakyat Sarawak yang selama ini memperkatakan tentang hak Sarawak dalam MA63.

 Sebagai Perdana Menteri, Najib berkata beliau amat prihatin dengan rakyat Sarawak.

 Jelasnya, jika satu masa dahulu apabila orang membicarakan tentang MA63, kemungkinan berhadapan dengan tindakan seperti Akta Dalam Negeri (ISA).

 “Adakah anda mahu kembali ke zaman itu?” katanya.

 Najib berkata, beliau akan menyokong kerajaan negeri dalam projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuching.

 Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, beliau mahu BN Sarawak menang dengan cemerlang agar dapat menyumbang terhadap pembentukan kerajaan persekutuan yang kuat dan stabil.

 Membuktikan lagi komitmen terhadap pembangunan di Sarawak, Najib berkata sejak menjadi Perdana Menteri beliau setakat ini telah melawat negeri ini 59 kali.

 Setiap lawatan, beliau tidak pernah datang dengan tangan kosong.

 Menerusi siri lawatan ke Sarawak, beliau mendengar keluhan rakyat dan pemimpin negeri dan meluluskan projek yang dipohon.

 Antaranya, Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Lupar ketika zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri.

 “Saya rakan baik Sarawak dan saya sebagai Perdana Menteri mahu melihat setiap pelosok negara, maju sederap dan seimbang secara adil dan saksama.

 “Kalau ada kawasan ketinggalan maka tanggungjawab saya betulkan kepincangan.

 Sewajarnya tidak perlu ada jurang dalam negara kita.

 “Peruntukan diberikan amat wajar dan saya tidak ragu dan berbaloi untuk memberi peruntukan besar kepada Sarawak,” ujarnya.

 Mengenai PBB, beliau kagum dengan hubungan akrab dan penuh toleransi di kalangan para pemimpin yang menjadikan parti itu kekal teguh dan stabil.

 Malah, banyak jawatan tinggi parti dimenangi tanpa ada sebarang pertandingan.

 “Keindahan inilah saya lihat antara ciri teristimewa pada PBB antara pemimpin, antara lama dan baharu, antara Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam.

 “Saya lihat PBB boleh menjadi model contoh parti politik,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement