Anda di sini

Perkasa generasi muda PBB

 Abang Johari menekan butang sebagai simbolik perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB, semalam. Turut kelihatan Awang Tengah (dua kanan) serta barisan kepimpinan PBB lain.
RASMI: Abang Johari menekan butang sebagai simbolik perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB, semalam. Turut kelihatan Awang Tengah (dua kanan) serta barisan kepimpinan PBB lain.

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mempunyai program jangka panjang untuk golongan mudanya bagi mempersiapkan mereka sebagai generasi digital.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk ahli Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB yang diingat untuk memantapkan lagi pengetahuan mereka dalam teknologi terkini.

Saya ingin berkongsi dengan anda semua iaitu generasi muda ke arah masa depan digital termasuk Wanita dan Pemuda memandangkan kini gaya hidup sudah berubah.

Maka, parti kita hendaklah bersama-sama menyusuli perubahan yang telah berlaku iaitu era digital, jika tidak kita akan terus ketinggalan di belakang,” ujarnya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Abang Johari berkata, PBB mesti mempunyai kepimpinan yang berani berubah, justeru ahli Wanita dan Pemuda khasnya golongan profesional muda juga harus berani berubah.

Generasi muda katanya, perlu cukup berani untuk mengawal emosi dan pada masa sama memantapkan pengetahuan bagi mencapai objektif PBB iaitu dasar untuk mengubah rakyat.

Beliau berkata, ini termasuk program ARMADA Pergerakan Pemuda yang perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang betul dan pendekatan serta peralatan yang wajar untuk bergerak ke hadapan apabila menghadapi cabaran.

Hari ini semuanya adalah teknologi dan bukan seperti ‘perang’ pada satu ketika dahulu yang menggunakan senjata tetapi menggunakan dunia siber seperti media sosial.

Ia adalah peralatan yang boleh memusnahkan negara, maka kita di Sarawak telah mewujudkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk menyelaras bagi memastikan teknologi digunakan untuk tujuan baik dan bukan keburukan,” katanya.

Selain itu kata beliau, antara rancangan jangka panjang untuk generasi muda ialah memantapkan institusi pendidikan, mendedahkan mereka kepada pembangunan bakat dan penguasaan teknologi untuk membangunkan aplikasi.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, PBB dalam sejarahnya adalah parti yang sentiasa mengubah dan membangun Sarawak selain parti inklusif untuk semua kaum dan agama.

Sarawak kini telah berubah hasil daripada perjuangan dan sumbangan PBB selain disokong oleh rakan komponen Barisan Nasional (BN).

PBB mempunyai dasar yang lama untuk membangunkan Sarawak di mana banyak kawasan luar bandar negeri ini telah berubah wajah seperti Samarahan, Kapit, Betong dan Mukah. Inilah hasil politik pembangunan khasnya oleh bekas pemimpin PBB kita,” tegasnya.

Hadir sama dua pemangku Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta ahli-ahli Majlis Tertinggi PBB lain.