Anda di sini

Guru besar tunjang sekolah berprestasi cemerlang: Dr Annuar

Advertisement
 Dr Annuar (dua kanan) menerima cenderamata daripada Abang Mat sambil diperhatikan Sudarsono (kanan) dan Dr Abdul Rahman (kiri).
SIDANG SELESAI: Dr Annuar (dua kanan) menerima cenderamata daripada Abang Mat sambil diperhatikan Sudarsono (kanan) dan Dr Abdul Rahman (kiri).

SIBU: Guru besar memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah sekolah khususnya bagi membantu melahirkan pelajar cemerlang.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata, selain menyediakan kemudahan untuk sekolah, guru besar juga penting dalam menentukan prestasi pelajar di sesebuah sekolah.

“Guru besar memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi pelajar di sesebuah sekolah. Ini kita tidak dapat menafikan walau apa pun kajian yang dilakukan.

“Oleh itu kita berada di sini bagi mengadakan persidangan untuk berkumpul, berbincang dan bersatu bagi memastikan pelajar kita mencapai kecemerlangan,” ujarnya.

Dr Annuar berkata demikian ketika berucap menutup Persidangan Guru Besar Sarawak Zon Tengah di sebuah hotel di sini, petang kelmarin.

Persidangan yang bermula 29 Januari lepas bertemakan ‘Memimpin Untuk Kecemerlangan Pendidikan’.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi merangkap pengerusi penganjur persidangan Datu Sudarsono Osman, Timbalannya Dr Abdul Rahman Deen, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus serta yang lain.

Menurut Dr Annuar lagi, kerajaan negeri serta seluruh rakyat Sarawak mengharapkan perubahan drastik selepas persidangan terbabit.

Untuk itu katanya, semua pihak seperti kementerian, guru dan guru besar perlu memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan prestasi pendidikan dan keadaan sekolah-sekolah di seluruh negeri.

“Perjalanan kita masih panjang dan kita perlu melangkah ke hadapan dalam usaha kita memastikan anak-anak Sarawak menerima pendidikan serta infrastruktur pendidikan yang baik,” ujarnya yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam.

Dengan wujudnya kementerian pendidikan negeri, Dr Annuar percaya lebih banyak program pembangunan profesional untuk guru dapat dirangka pada masa akan datang.

Persidangan ini antara lain bagi meningkatkan kualiti pengurusan dan pentadbiran am sekolah, mengemas kini kualiti kepimpinan guru besar, menggalakkan kerjasama profesional dalam kalangan guru besar serta mengelakkan keterasingan profesional.

Di samping itu, persidangan juga berkongsi amalan terbaik kepimpinan dan pengurusan yang berjaya serta meningkatkan kerjasama sekolah dengan komuniti, agensi dan industri.

Advertisement