Anda di sini

PBB kekal relevan

Advertisement

 

 Abang Johari bersama barisan kepimpinan tertinggi PBB merakam kenangan bersama ahli parti yang hadir.
PENUH: Abang Johari bersama barisan kepimpinan tertinggi PBB merakam kenangan bersama ahli parti yang hadir.

Ramai ahli hadir pada setiap mesyuarat cawangan di seluruh negeri.

KOTA SAMARAHAN: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat pelbagai peringkat usia di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri merangkap Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Cawangan PBB Zon Dua di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini semalam.

Beliau memberitahu, ia dapat dibuktikan dengan kepadatan kehadiran ahli PBB pada setiap mesyuarat cawangan yang berlangsung di seluruh negeri.

"Saya lihat semasa merasmikan mesyuarat cawangan PBB di setiap kawasan, berlaku kesesakan dan tempat duduk tidak mencukupi.

"Hari ini (semalam) di Dewan Suarah Kota Samarahan pun berlaku perkara yang sama dan ini menunjukkan keahlian kita semakin hari semakin ramai dan menjadi pilihan rakyat pelbagai peringkat usia terutama anak-anak muda," katanya.

Malah, Abang Johari mendedahkan bahawa kira-kira 60 peratus ahli PBB terdiri daripada kalangan golongan belia dan ia selari dengan hasrat untuk meremajakan parti itu.

Pada masa sama beliau turut menggesa setiap ahli PBB memperluaskan ilmu pengetahuan dalam era ekonomi berasaskan digital pada masa kini.

Tegasnya, ia penting supaya hasrat kerajaan negeri membangunkan ekonomi digital dapat dicapai dengan jayanya.

"Sekarang zaman telah berubah, sebab itulah kita juga perlu berubah dari segi pendekatan kita termasuk dalam parti kita sendiri agar PBB terus kekal hidup," ujarnya.

Mesyuarat Zon Dua itu semalam melibatkan sembilan cawangan PBB di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, Stakan, Asajaya, Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawah.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Turut hadir Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Dr Abdul Rahman Junaidi dan wakil rakyat lain.

  • oleh
  • Advertisement