Anda di sini

Rakyat lebih matang nilai hasil pembangunan kerajaan

Advertisement
__alt__

RAKYAT dalam kawasan Parlimen Bintulu diyakini akan terus menyokong kerajaan bagi memastikan pembangunan dan projek dapat terus dilaksanakan dengan lancar, sekali gus membawa manfaat kepada semua.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, rakyat di kawasan Bintulu dan negeri ini diharap berfikiran terbuka dan lebih matang untuk menilai hasil-hasil pembangunan yang dibawa kerajaan.

Selain berperanan sebagai wakil rakyat, Tiong turut menggesa agensi kerajaan memberikan perkhidmatan yang cekap, turun padang membantu meninjau permasalahan atau isu yang dibangkitkan rakyat serta berusaha menanganinya dengan segera.

Beliau merujuk mengenai permasalahan yang dihadapi penduduk yang menanggung kerugian apabila tanaman mereka musnah dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Perkara tersebut telah dibawa ke pengetahuan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk tindakan,” ujarnya lantas menyarankan penduduk yang terjejas melaporkan perkara tersebut ke pejabat daerah dan Jabatan Pertanian berdekatan.

Tiong berkata demikian semasa lawatan kerja ke tujuh rumah panjang merangkumi Rumah (Rh) Bawit Banta dan Rh Belaja Dali di Sungai Setapang, Rh Mujah Kayan (Sungai Satai), Rh Thomas Muguong (Lubok Gala, Pandan), Rh Hillary Lestes Anggat (Pandan), Rh Desmond Lenus Geliga (Lubok Gala, Pandan) dan Rh Seman Jubin (Sungai Lebus Binyo) beberapa hari lepas.

Lawatan itu turut disertai wakil agensi dan jabatan kerajaan terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Bintulu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Bintulu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Bintulu, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu serta ahli-ahli Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dalam perkembangan lain, Tiong meminta rakyat di luar bandar khususnya rumah panjang tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menabur pelbagai persepsi negatif terhadap kerajaan.

Katanya, rakyat harus pandai menilai usaha kerajaan yang sedia ada dalam membela nasib mereka serta menitikberatkan kebajikan mereka dengan melaksanakan pelbagai transformasi untuk meningkat taraf hidup rakyat tanpa mengira latar belakang, budaya dan agama.

  • oleh
  • Advertisement