Anda di sini

Polis tahan ibu selepas melibas empat anaknya

Advertisement

PUTATAN: Polis menahan seorang wanita berumur 34 tahun selepas mencederakan tiga anaknya di sebuah rumah di Taman Ketiau di sini, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Putatan Deputi Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata kejadian disedari selepas Pegawai Perubatan Klinik 1Malaysia Taman Ketiau menghubungi polis semasa anak mangsa mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

“Kejadian awal dipercayai berlaku semasa suspek yang juga ibu mangsa mengarahkan empat anaknya masing-masing berumur tujuh hingga 15 tahun mencari barang kemasnya termasuk cincin dan gelang tangan yang dipercayai hilang sejak Ahad.

“Selepas gagal menemukan barangan kemas terbabit, suspek kemudiannya bertindak di luar kawalan dengan memarahi, memukul serta mengugut membunuh anaknya sebelum mengambil pisau pemotong daging,” katanya.

Katanya, suspek kemudiannya melibas pisau terbabit ke arah anaknya dengan tujuan agar mangsa mengaku mengambil barang kemas berkenaan.

“Tindakan mangsa menyebabkan tiga anaknya terkena libasan pisau di bahagian tangan manakala seorang lagi anaknya tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudiannya melarikan diri sebelum meminta bantuan jiran untuk ke klinik berdekatan,” katanya.

Haris berkata bertindak daripada kejadian, pihaknya berjaya menahan suspek dan merampas sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Advertisement