Anda di sini

Nelayan nyaris lemas bot karam

Advertisement
Supian (tengah) yang berjaya diselamatkan oleh anak kapal sebuah kapal pelantar minyak sebelum dibawa oleh pasukan APMM Bintulu ke daratan, malam tadi. - Foto ihsan APMM

BINTULU: Seorang nelayan nyaris lemas setelah bot miliknya karam di muara Sungai Kemena sekitar jam 10.35 malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah Bintulu (DM12) Komander Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot sepanjang 30 kaki yang digunakan oleh mangsa, Supian Merini, 37 tahun, telah mengalami kerosakan sebelum karam.

"Sejurus menerima maklumat berhubung insiden berkenaan, sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohamad Hasni Lizarus bersama empat orang anggota telah bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan  mangsa," ujarnya.

Katanya, mangsa diselamatkan oleh anak kapal sebuah kapal pelantar minyak yang ketika itu sedang lalu di muara sungai berkenaan.

Mangsa yang tidak mengalami apa-apa kecederaan namun masih lemah, dibawa ke daratan oleh APMM Bintulu.

Hambali dalam pada itu, menasihatkan orang ramai terutama nelayan yang menggunakan bot kecil  agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa mencari hasil laut di sekitar perairan negara atas faktor cuaca yang tidak menentu.

"Sebaik-baiknya, semua individu yang terlibat dalam kegiatan ekonomi  di laut hendaklah sentiasa peka akan pengumuman mengenai perubahan keadaan cuaca dan air tasik bagi memastikan mereka merancang terlebih dahulu sebelum turun ke laut," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement