Anda di sini

Maut dirempuh dari belakang

Advertisement
Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang

MUKAH: Seorang lelaki berusia 52 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 48, Jalan Balingian-Mukah dekat sini, pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi, Zaidi Rapaiee meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan yang datang dari arah Balingian menuju ke Mukah.

"Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa membelok ke kanan untuk masuk simpang menuju ke pantai.

"Dipercayai jarak terlalu dekat, pemandu berkenaan tidak sempat menggelak ke kanan lalu merempuh motosikal mangsa," katanya.

Jimmy berkata, akibat kemalangan itu, mangsa berasal dari Kpg Masjid, Balingian di sini yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada, disahkan meninggal dunia oleh paramediks Hospital Mukah di tempat kejadian. 

"Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat," katanya. 

Jimmy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
 

  • oleh
  • Advertisement