Anda di sini

Khazanah kumpul AS$320.8 juta menerusi terbitan sukuk boleh tukar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berjaya menetapkan harga sukuk boleh tukar AS$320.8 juta (RM1.27 bilion), yang akan diterbitkan menerusi jentera tujuan khas bebas yang diperbadankan di Labuan- Cindai Capital Ltd.

Dalam kenyataan semalam, Khazanah berkata sukuk itu akan merujuk nilai saham-H di CITIC Securities Co Ltd, firma pembrokeran sekuriti terbesar China.

Sukuk berkenaan akan disenarai di Singapore Exchange Securities Trading Ltd, Labuan International Financial Exchange Inc dan Bursa Malaysia (di bawah Regim Terkecuali), katanya.

Sukuk distrukturkan berasaskan prinsip Wakalah dan menawarkan pemegang sukuk opsyen untuk menerima tunai atau saham selepas ditukarkan, kata Khazanah.

Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata permintaan kukuh ke atas sukuk boleh tukar ini menunjukkan kepercayaan kredit Khazanah oleh pelabur.

“Kami bernasib baik dapat menetapkan nilai perjanjian ini ketika sentimen pasaran di China dan Hong Kong positif,” katanya.

Khazanah  berkata sukuk, dengan tempoh lima tahun, dan pelabur memiliki opsyen yang boleh dilaksanakan pada akhir tahun tiga, ditetapkan menerusi proses penetapan harga dengan persetujuan penjual dan pembeli.

“Berstruktur dengan pembayaran berkala sifar dan hasil 0.00 peratus hingga matang, sukuk boleh tukar itu mencapai tahap  akhir yang paling ketat mengikut panduan awal pada kadar premium 40 peratus melepasi harga purata wajaran jumlah saham CITIC Securities pada 17 Jan tahun ini. — Bernama

“Transaksi tersebut diliputi sepenuhnya selepas pelancaran dan menarik permintaan terakhir sebanyak 5.5 kali saiz terbitan. Sebanyak 78 pelabur yang terdiri daripada pengurus dana jangka panjang, dana lindung nilai, dana arbitraj serta pengurus aset di seluruh Asia dan Eropah melanggannya,” katanya.

Khazanah  berkata CITIC Securities merupakan penawaran kelapannya dalam format sukuk sejak penerbitan pertama sukuk boleh tukar Telekom Malaysia Bhd pada 2006, dan menambah pelbagai terbitan berjaya dilaksanakan dengan memperoleh anugerah antarabangsa sejak beberapa tahun.

CIMB Group dan JP Morgan ialah pengurus bersama dan pengurus utama bersama bagi urus niaga sukuk ini. — Bernama

Advertisement