Anda di sini

16 kes penipuan dalam talian dicatat di Bintulu 2017

Advertisement
 

BINTULU: Sebanyak 16 kes penipuan Internet dicatatkan di sini sepanjang tahun lepas, membabitkan suspek menyamar sebagai pegawai bank, penipuan kad kredit termasuk kes-kes penipuan pinjaman duit, ugutan jenayah, penipuan cinta alam maya, antara lain.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, masyarakat seharusnya tidak terpedaya dengan taktik penipuan sebegitu antaranya apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. 

"Pembelian barangan melalui internet atau pinjaman wang melalui internet termasuk `African Scam, Love Scam dan Parcel Scam' merupakan satu daripada modus operandi kes yang kerap dilaporkan mangsa penipuan," ujarnya mengulas mengenai kes berkaitan semasa bercakap dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga kes penipuan dalam laman sosial seperti Facebook, dimana mangsa yang hendak membuat pinjaman wang tunai dikehendaki oleh suspek untuk memasukkan duit pendahuluan ke dalam akaun tertentu.

"Saya menasihati sekiranya hendak membuat pinjaman wang perlu melalui saluran-saluran tertentu yang sah seperti bank yang menawarkan perkhidmatan pinjaman," katanya. 

Beliau turut kesal apabila kes-kes penipuan seperti "love scam" masih berlaku, meskipun polis telah banyak kali memberi peringatan.

"Iklan yang dipaparkan dalam Facebook seharusnya orang ramai dapat menilai sendiri supaya tidak terpedaya.

Keputusannya sama ada untuk meminjam atau tidak adalah terpulang kepada individu itu sendiri. 

"Tetapi adakalanya, disebabkan pinjaman yang dibuat di bank tidak diluluskan dan dalam keadaan terdesak, ada mangsa mengambil inisiatif terdekat membuat pinjaman melalui iklan pinjaman yang ditawarkan dalam Facebook, Twitter atau WhatsApps yang memaparkan nombor dihubungi untuk urusan lanjut.

 "Seterusnya melalui e-mel, mangsa diminta memasukkan wang dalam akaun tertentu dengan alasan untuk perlindungan insurans, duti setem, tandatangan peguam sehingga mangsa mengikut arahan tersebut dengan membayar wang dalam jumlah tertentu," katanya. 

Selain itu katanya, ada juga kes membabitkan ugutan jenayah, ugutan bunuh dan sebagainya yang mengarahkan mangsa memasukkan duit dalam jumlah tertentu kepada suspek. 

"Ia antara satu kaedah penipuan dan ugutan yang dilakukan oleh suspek sehingga mangsa merasa takut dan satu tindakan baik mangsa di sini ialah bertindak cepat melaporkan segera kepada pihak polis. 

"Beberapa cara suspek juga adalah menghubungi mangsa memaklumkan mangsa ada hutang bank dan ada surat mahkamah yang akan membuat tangkapan ke atas mangsa sedangkan panggilan tersebut palsu," katanya. 

Beliau berkata, ia disebut sebagai `scammer divert call' yang mana suspek akan menggunakan nombor telefon tertera nombor sama dengan nombor ibu pejabat polis daerah atau ibu pejabat kontinjen polis tertentu yang mana apabila dihubungi akan dialihkan kepada nombor suspek.

Justeru katanya, sesiapa yang menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali diingatkan untuk merujuk terus dengan pihak polis untuk pengesahan supaya tidak terpedaya dan menjadi mangsa penipuan.
 

Advertisement