Anda di sini

Semua perumahan perlu ada bomba komuniti: Tengku Abdullah

Advertisement
 Tengku Abdullah (empat kanan) semalam melawat beberapa rumah yang musnah dalam kebakaran petang kelmarin                 di Kampung Sungai Isap di Kuantan. — Gambar Bernama
PRIHATIN: Tengku Abdullah (empat kanan) semalam melawat beberapa rumah yang musnah dalam kebakaran petang kelmarin di Kampung Sungai Isap di Kuantan. — Gambar Bernama

KUANTAN: Semua kawasan perumahan khususnya di bandar digesa untuk mewujudkan bomba komuniti bagi membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda semasa kebakaran.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perkara itu boleh dilaksanakan dengan mereka yang menganggotai rukun tetangga mengikuti kursus asas kebakaran oleh pihak bomba.

Musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi sekurang-kurangnya kita ada usaha. Jika ada bomba komuniti, boleh diberi latihan supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan semasa kebakaran.

Pihak bomba juga perlu lebih proaktif dengan keperluan ini di taman perumahan dan sentiasa periksa saluran air di kawasan perumahan,” titah baginda selepas melawat mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, semalam.

Kelmarin, tiga rumah di perkampungan itu musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.30 petang, dipercayai berpunca akibat litar pintas dari salah sebuah rumah.

Tengku Abdullah juga mengingatkan pemilik rumah untuk menyedari kepen-tingan mengambil perlin-dungan insurans bagi rumah, kerana masih ada yang tidak mempunyai insurans rumah, khususnya di kampung.

Saya harap semua perlu ada insurans kerana sedikit sebanyak ia dapat membantu meringankan beban apabila berlaku kejadian seperti ini. Saya dimaklumkan dua rumah (yang terlibat kebakaran) tidak mempunyai insurans.

Salah sebuah rumah juga baharu selesai membuat baik pulih...tapi malang tidak berbau. Namun apa yang lebih mustahak ialah bersyukur kerana semuanya selamat,” titah baginda.

Tengku Abdullah menambah baginda berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya segera melakukan tindakan sewajarnya dan tidak hanya menunggu sehingga kejadian telah berlaku.

Titahnya antara tindakan segera yang perlu ialah memeriksa sistem pendawaian, jika rumah itu telah lama didiami.

Pada lawatan itu, Tengku Abdullah juga menasihatkan mereka yang diuji dengan musibah itu untuk bersabar dan mahu pihak kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu mangsa kebakaran. — Bernama

Advertisement