Anda di sini

Sekatan terhadap minyak sawit satu bentuk penjajahan ekonomi: FELDA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melabelkan Kesatuan Eropah (EU) sebagai hipokrit dan mendakwanya cuba melakukan penjajahan ekonomi ke atas negara-negara pengeluar minyak sawit berhubung sekatan yang dicadangkannya terhadap komoditi tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata langkah itu lebih kepada penjajahan berikutan ia didorong oleh alasan yang tidak berasas susulan mereka mengetahui terdapat hubungan antara kelapa sawit dan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau berkata cadangan sekatan ke atas penggunaan minyak sawit dalam biofuel bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kemudian mereka meneruskan usaha untuk menyekat penggunaan minyak sawit di benua mereka,” katanya pada sidang media di Menara FELDA di sini sempena bantahan yang diadakan oleh lebih 2,000 pekebun kecil bagi pihak 650,000 pekebun kecil di seluruh negara yang menuntut penarikan balik ancaman EU terhadap minyak sawit.

Shahrir berkata ini merupakan kali pertama pekebun kecil melakukan bantahan untuk menunjukkan pendirian mereka terhadap sekatan EU, dan beliau tidak menolak kemungkinan bantahan yang sama dari semasa ke semasa.

Kita boleh meningkatkan bantahan kita. Sebelum ini, terdapat dialog dan interaksi antara kerajaan kepada kerajaan dan parlimen kepada parlimen tetapi kini antara rakyat Malaysia dan Parlimen EU,” katanya.

Ditanya sama ada bantahan hari ini (kelmarin) akan memberi kesan kepada keputusan EU untuk menghentikan penggunaan minyak sawit dalam biofuel mulai 2021, beliau berkata kesan itu tidak dapat dipastikan, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menunjukkan kepada mereka sekatan itu berdasarkan alasan yang salah.

Dilaporkan Parlimen EU akan mengadakan undian terhadap cadangan sekatan biofuel sawit esok (semalam).

Ditanya sama ada FELDA akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan kempen ‘buy European last’, katanya perkara tersebut dibangkitkan pada perbincangan dalaman.

Kami telah membincangkan mengenainya, tetapi kami belum ada keputusan,” katanya, sambil menambah FELDA akan menyokong strategi tindak balas kerajaan terhadap boikot minyak sawit EU. — Bernama

Advertisement