Anda di sini

Poh Kong yakin prestasi tahun fiskal semasa lebih baik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peruncit barang kemas, Poh Kong Holdings Bhd, yakin prestasi kewangannya tahun ini lebih baik daripada sebelumnya berikutan harga emas yang lebih baik.

Ketua  Hal Ehwal Korporat, Pentadbiran dan Sumber Manusia, Margaret Hon berkata harga emas dijangkakan lebih baik berbanding tahun lepas, yang telah pun menyaksikan harga meningkat kira-kira 13 peratus kepada sekitar AS$1,300 satu auns berbanding kira-kira AS$1,200 satu auns pada 2016.

Tahun 2018 dijangka lebih baik berbanding 2017 bagi perniagaan barang kemas dengan ekonomi mula meningkat dan ringgit mengukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada pemberita  selepas mesyuarat agung tahun syarikat itu di sini semalam.

Beliau berkata, harga emas kini pada AS$1,340 satu auns dan penganalisis menjangkakan harga logam berharga itu akan mencecah AS$1,350 satu auns dalam tempoh terdekat.

Diharapkan menjelang akhir tahun, ia akan mencecah AS$1,500 satu auns,” katanya.

Dalam tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2017 (FY17), keuntungan sebelum cukai Poh Kong melonjak kepada RM37.48 juta berbanding RM17.48 juta dalam FY16, manakala hasil meningkat kepada RM876.99 juta berbanding RM776.53 juta sebelumnya.

Mengenai peluasan perniagaan, Hon berkata syarikat itu memperuntukkan sehingga RM15 juta untuk perbelanjaan modal bagi membuka tiga cawangan baharu tahun ini, dengan dua sudah dibuka di Johor Bahru manakala lokasi cawangan ketiga belum dikenal pasti.

Dengan tambahan dua cawangan baharu itu, beliau berkata Poh Kong kini mempunyai 94 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Eddie Choon berkata syarikat itu mahu meluaskan perniagaan di Sabah dan Sarawak pada masa depan, dan bukan tahun ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasarannya Elizabeth Choon berkata, usaha syarikat untuk mempelbagaikan saluran jualannya menerusi platform dalam talian sudah mula menunjukkan kesan yang positif, berdasarkan pertumbuhan jualan dua angka yang direkodkan tahun lepas menerusi platform terbabit.

Susulan kehadirannya dalam platform e-dagang seperti Lazada dan 11street, syarikat itu dijangkakan mengumumkan satu lagi usaha sama dengan platform e-dagang pada suku kedua tahun ini. — Bernama

Advertisement