Anda di sini

Pengangkutan kargo dengan kereta api akan pacu perdagangan di sempadan Malaysia-Thai

Advertisement

BANGKOK: Usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala Malaysia-Thailand dapat dicapai jika kedua-dua negara jiran itu memanfaatkan sepenuhnya hubungan dan perdagangan yang lebih meluas di sempadan bersama, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Wira Othman Aziz.

Beliau berkata, Malaysia berharap kedua-dua negara dapat merealisasikan cadangan itu bagi menghubungkan Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Songkla, di selatan Thailand menerusi pengangkutan kargo dengan kereta api.

Kedua-dua  pelabuhan ini boleh menjadi pelabuhan transit utama dan menyediakan laluan alternatif dan lebih pendek  untuk pergerakan barangan antara Asia Timur dan Asia Barat serta Eropah Barat,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Thailand di Kementerian Pengangkutan di sini, kelmarin.

Menurutnya, mesyuarat itu adakan sebagai respons kepada maklum balas positif yang diterima oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, semasa lawatan kerja beliau ke Thailand September lalu berhubung cadangan Malaysia untuk membangunkan hubungan dan perdagangan yang lebih meluas di sempadannya dengan Thailand.

Cadangan pengangkutan kargo dengan kereta api dan inisiatif lain,katanya, akan menangani kekangan semasa di pusat pemeriksaan sempadan dan meningkatkan daya saing serta kecekapan kargo merentasi sempadan.

Ia akan memberikan kesan limpahan ekonomi yang saling menguntungkan,” katanya.

Othman berkata, pengangkutan kargo dengan kereta api adalah satu projek besar dan memerlukan penyertaan kedua-dua sektor awam dan swasta Malaysia-Thailand untuk mencapai matlamatnya.

Beliau gembira mendengar rancangan Thailand untuk membangunkan infrastruktur jalan dan kereta api di bahagian selatan negara itu, termasuk landasan keretapi berkembar yang menghubungkan Hat Yai ke Padang Besar.

Sekiranya rancangan ini berjaya, ia pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih baik antara Pelabuhan Songkla dan Pelabuhan Pulau Pinang melalui pengangkutan kereta api,” katanya, sambil menambah bahawa lebih 60 peratus perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand adalah daripada perdagangan di sempadan.

Menurut Othman, Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Thailand bersetuju untuk meningkatkan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kepada AS$30 bilion (AS$1=RM3.95) tahun ini daripada AS$22 bilion pada 2016.

Selain pengangkutan kargo dengan kereta api yang dicadangkan, Malaysia juga memberi taklimat kepada Thailand pada mesyuarat tersebut mengenai rancangan untuk menubuhkan Zon Ekonomi Sempadan Khas dan Depoh Kargo Darat di Bukit Kayu Hitam untuk memudahkan aliran barangan di sempadan,” katanya. — Bernama

Advertisement