Anda di sini

Misha Omar, Siti Sarah, Tam Spider & Zarul Umbrella dalam Mentor Otai

Advertisement
Misha, Siti Sarah, Tam Spider & Zarul dalam Mentor Otai
Misha, Siti Sarah, Tam Spider & Zarul dalam Mentor Otai

PROGRAM realiti popular Mentor di TV3 kini kembali dengan konsep baharu dan nama baharu iaitu Mentor Otai yang menampilkan Misha Omar, Siti Sarah, Tam Spider, dan Zarul Umbrella sebagai mentor.

Barisan mentor ini mengalu-alukan penyertaan warganegara dalam lingkungan umur 35 hingga 55 tahun ke sesi uji bakat pada 27 & 28 Januari dan 3 & 4 Febuari 2018 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, Zurina Othman, “Program Mentor ini telah pun mendapat tempat di hati masyarakat kita, terutamanya dalam mencungkil bakat nyanyian mereka yang terpendam selama ini.

Namun, program Mentor selama ini hanyalah dibuka kepada golongan belia sahaja. Oleh itu, pada tahun 2018 ini, TV3 memperkenalkan Mentor Otai untuk memberikan peluang kepada mereka yang pernah dan masih mempunyai impian untuk menjadi penyanyi,” katanya.

Tambahnya, “Seruan saya adalah, ambillah peluang ini dan sertailah industri hiburan tanah air seperti yang anda sentiasa inginkan. Barisan Mentor kami yang sememangnya cukup berpengalaman akan membimbing para protégé mereka sehingga mereka bergelar penyanyi.”

Selain itu, para mentor juga telah berkongsi apakah kriteria-kriteria bakal protege yang dicari mereka.

Saya tidak meminta banyak daripada bakal protege saya. Saya tidak mengambil kira status perkahwinan dan umur mereka. Asalkan mereka mempunyai suara yang mantap dan mempunyai keaslian sendiri.” ~ Misha Omar

Protege yang saya cari adalah mereka yang ikhlas dalam menyanyi dan tentunya boleh menyanyi. Mereka juga harus mempunyai karakter dan berpengalaman dalam menyanyi.” ~ Zarul Husin (Umbrella)

Mampu menyanyi dalam pelbagai genre atau versatil adalah kriteria utama yang saya cari. Selain itu, protege saya haruslah berjiwa Melayu yang kuat dan minat menyanyi.” ~ Sarah Raisuddin

Pertama sekali, bakal protege saya hendaklah mempunyai bakat nyanyian dan seorang penyanyi yang versatil. Mereka juga haruslah mengikuti perkembangan dunia muzik tanah air dan sekiranya mereka boleh bermain instrumen muzik, itu merupakan markah bonus kepada mereka.” ~ Tam Spider

Uji bakat ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 35 hingga 55 tahun dan tidak diurus oleh mana-mana syarikat rakaman dan agensi bakat sebelum dan selepas program Mentor Otai.

Mentor Otai ini diterajui oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar selaku Penerbit Mentor Otai. Mentor Otai akan menemui para penonton disekitar bulan Mac 2018.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram, dan Twitter @TV3Malaysia.

Advertisement