Anda di sini

Lelaki dituduh bunuh anak kekasih dibicara lanjut 22 Feb

Advertisement

Yap Kak Min, 32, berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

 Tertuduh dieskot keluar dari bangunan mahkamah ke kenderaan polis setelah dituduh di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan membunuh Nasreen Tan yang sepatutnya menyambut hari jadinya yang ke-13 bulan depan.
TIADA PENGAKUAN: Tertuduh dieskot keluar dari bangunan mahkamah ke kenderaan polis setelah dituduh di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan membunuh Nasreen Tan yang sepatutnya menyambut hari jadinya yang ke-13 bulan depan.

MIRI: Seorang pekerja kilang perabot dihadapkan ke Mahkamah Majistret petang semalam atas tuduhan membunuh seorang pelajar tingkatan satu yang juga anak kepada teman wanitanya.

Yap Kak Min, 32, dari Desa Pujut, Lorong 5 Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh yang berasal dari Kuala Lumpur didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Nasreen Tan Chai Wei yang berusia 12 tahun 11 bulan empat hari.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8 pagi hingga 5.50 petang, 9 Januari lalu di sebuah rumah di Lot 5851 Desa Pujut Lorong 5, Bandar Baru Tudan di sini.

Tertuduh yang kelihatan tenang di kandang tertuduh hanya mengangguk tanda faham setelah jurubahasa mahkamah membacakan kertas pertuduhan kes kepadanya dalam bahasa Melayu.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia, laporan bedah siasat dan forensik disiapkan.

Beliau turut memberitahu tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan kes ini adalah serius.

Hakim Steve Ritikos yang mendengar kes itu membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan lanjut kes.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguambela diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Dalam kejadian itu, sekitar jam 5.55 petang 9 Januari lalu, sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) yang membuat rondaan di Jalan Perlis, Kuala Baram terserempak dengan sebuah kereta yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di sebatang lorong berdekatan semak.

Seorang lelaki (tertuduh) kelihatan berdiri di bahagian belakang kereta dengan but keretanya terbuka.

Sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit bergegas menutup but keretanya lalu masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju kenderaannya meninggalkan tempat tersebut.

Pasukan MPV bertindak mengejar lelaki terbabit sejauh lima kilometer dan berjaya menahannya ketika berhenti di simpang Pelabuhan Miri, Kuala Baram.

Sebaik ditahan, polis kemudian mengarahkan lelaki terbabit keluar dan membuka but keretanya.

Apabila diperiksa, polis telah menjumpai mayat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di dalam but kereta terbabit.

Berikutan itu, lelaki terbabit yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Pada 10 Januari lalu, tertuduh diperintah reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dituduh di mahkamah setelah tempoh reman ke atasnya tamat petang semalam.

  • oleh
  • Advertisement