Anda di sini

Lapor polis jika terperdaya jadi buruh haram di luar negara

Advertisement
 Azeez (kanan) pada sidang media sambil ditemani Ghapur (kiri) dan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Darman Shah Asakil.
WASPADA: Azeez (kanan) pada sidang media sambil ditemani Ghapur (kiri) dan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Darman Shah Asakil.

TAWAU: Rakyat Malaysia yang dieksploitasi sebagai buruh haram di luar negara seperti Australia dan Korea Selatan akibat terperdaya dengan ejen dan agensi pekerjaan licik diminta tampil membuat laporan polis.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya menerima banyak laporan, khususnya di Melbourne, Australia.

Saya yakin dan percaya bahawa polis boleh mengambil tindakan undang-undang dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Siri Jelajah ‘Happy To School’ anjuran Biro Keahlian dan Daftar Pemilih dengan kerjasama KP1M di SK Kalabakan, di sini pada Selasa.

Program itu juga dijayakan Parlimen Kalabakan dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, serta turut dihadiri Ahli Parlimen Tawau Datuk Seri Panglima Abd Ghapur Salleh.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Abd Muis Picho.

Azeez berkata kegiatan penipuan ejen dan agensi pekerjaan yang licik memperdayakan orang ramai khususnya anak muda, perlu menerima hukuman setimpal.

Rakyat khususnya anak-anak muda dinasihati supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpengaruh dengan janji manis tawaran pekerjaan bergaji lumayan.

Anak-anak muda perlu berwaspada dan memeriksa terlebih dahulu sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya.

Menurutnya, kehadiran pekerja rakyat Indonesia, Nepal dan Bangladesh di negara ini juga sebenarnya menunjukkan masih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.

Berhubung peranan KP1M pula, beliau terbuka menerima aduan, namun setiap permohonan perlu diteliti terlebih dahulu mengikut kemampuan dan kepakaran pihaknya.

Advertisement