Anda di sini

Bahang Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 kian memuncak

Advertisement

KUCHING: Kehangatan kian memuncak menjelang Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 2018 apabila hampir semua peserta daripada luar negara tiba di bandar raya ini semalam.

 Jaguh sukan gusti lengan dunia, Devon ‘No Limit’ Larrat daripada Kanada dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 11 malam dan disambut penuh mesra oleh penganjur - Kelab Komuniti Premier 101.

 Pengerusi penganjur, Stephen Kee berkata atlet dari Australia, Kazakhstan, China, Rusia, Jepun, Amerika Syarikat, Filipina, Brunei, India, Thailand, Vietnam dan Taiwan akan berada di sini untuk menyertai pertandingan pada 19 dan 20 Januari di Pusat Komersil Premier 101.

 Selain luar negara, penganjuran ini turut disertai atlet dari negeri-negeri lain seperti Labuan, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

 Bagi memperkenalkan Sarawak terutama Kuching di kalangan peserta dari luar negara, Stephen berkata penganjur akan membawa mereka terutama Larrat ke destinasi tarikan seperti Pusat Hidupan Liar Matang.

 “Ini secara tidak langsung akan membantu kerajaan negeri mempromosikan industri pelancongan dan memberi imej baik di kalangan orang luar.

 “Kita melihat penganjuran sukan ini dari perspektif yang lebih luas, demi manfaat bersama,” katanya ketika ditemui semalam.

 Pada pagi ini, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dijadual menghadiri sesi fotografi bersama Larrat dan jawatankuasa penganjur di Taman Sahabat.

 Pertandingan itu dianjurkan Premier 101 dengan kerjasama Persatuan Sukan Lengan Sarawak (SASA) dan disokong Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 Ia akan dirasmi Abdul Karim pada malam 19 Januari dan dirasmikan penutupan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian pada malam berikutnya.

 Antara kategori dipertandingkan ialah Lelaki Senior 85kg ke atas, Lelaki Senior 75-85kg, Lelaki Senior 75kg ke bawah, Lelaki Kidal 80kg ke atas, Lelaki Kidal 80kg ke bawah, Lelaki Senior Amatur 75kg ke atas, Lelaki Senior Amatur 75kg ke bawah dan Wanita Senior Terbuka.

 Jumlah keseluruhan wang tunai untuk dimenangi pada acara berprestij ini ialah RM31,300.

Advertisement