Anda di sini

AirAsia BigPay janji penjimatan 4 peratus kos perjalanan

Advertisement

BigPay dikawal selia oleh BNM miliki protokol keselamatan terkini

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, semalam berkata e-dompet BigPay syarikat penerbangan itu mampu menawarkan sekurang-kurang 4.0 peratus penjimatan kos perjalanan dan kadar tukaran mata wang.

Aplikasi BigPay sudah boleh dimuat turun daripada Google Play store dan Apple App store, katanya menerusi akaun Twitter.

Pada Isnin, Fernandes mengumumkan perkhidmatan e-dompet BigPay, yang merupakan sebahagian daripada strategi digital AirAsia untuk meneroka pangkalan data 63 juta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Beliau berkata dompet elektronik BigPay juga akan menawarkan perkhidmatan pengiriman wang dan kemungkinan perkhidmatan pinjaman wang kepada pelanggan AirAsia.

Maklumat mengenai BigPay di Google Play store menyatakan perkhidmatan itu bertujuan mewujudkan pembayaran masa depan di Asia Tenggara dengan menyediakan akses wang yang terjamin dan mudah kepada pengguna pada bila-bila masa dan tempat.

Ia menggabungkan aplikasi mudah alih dengan fleksibiliti Mastercard prabayar yang diterima di lebih 30 juta pedagang di seluruh dunia, yang membolehkan pengguna mengurus kewangan secara digital. Nilai boleh ditambah menggunakan kad debit atau kredit mereka.

Laman aplikasi itu juga menjamin BigPay dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, selain memiliki protokol keselamatan terkini, termasuk cap jari dan perakuan muka bagi mengesahkan identiti. — Bernama

Advertisement