Anda di sini

Pembikin filem ingin kongsi kisah ‘pendam’ Swaziland

Advertisement
NOKUPHILA MASANGANE
NOKUPHILA MASANGANE

MANZINI (Swaziland): Pembikin filem beraspirasi Nokuphila Masangane ingin berkongsi kisah-kisah pendam tanah airnya, Swaziland, dengan dunia melalui sebuah dokumentari terbitan dan arahannya.

Impiannya adalah untuk menerbitkan filem mengenai bagaimana negaranya yang “terkurung daratan” di tenggara Afrika itu mencapai kemerdekaan pada 1968 dan kehidupan rakyat Swaziland sebelum dan selepas kemerdekaan.

Berikutan minatnya dalam pembikinan filem, gadis berusia 24 tahun itu telah bertahun-tahun mencari kursus penerbitan filem di Swaziland sehinggalah akhirnya beliau mendapat tahu bahawa terdapat kampus Limkokwing University of Creative Technology (Limkokwing Swaziland) di negaranya ini.

Beliau segera mengambil peluang mendaftar untuk mengikuti sarjana muda dalam perfileman dan penghasilan TV apabila mengetahui daripada rakan sekerjanya bahawa universiti itu menawarkan kursus berkenaan.

Pada hari ini, beliau adalah pelajar semester tiga kursus penghasilan filem dan televisyen. Beliau kini dalam perjalanan memenuhi impiannya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.

TIDAK MUDAH CAPAI IMPIAN

Berkongsi pengalamannya dengan penulis Bernama yang berada di kampus di sini baru-baru ini, Masangane memberitahu bahawa Limkokwing University boleh dianggap sebagai penyelamat ketika beliau berhadapan masalah mendapatkan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Saya telah lama menyimpan hasrat untuk belajar di luar negara. Malangnya, sumber kewangan sangat terhad. Nasib baik ada Limkokwing University di Swaziland. Saya kagum dengan pelbagai kemudahan dan kampus yang menampilkan persekitaran pengajian antarabangsa.

“Kursus-kursus di sini disusun khusus untuk kami. Tidak seorang pun daripada kami mahu terus terbelenggu dengan kerjaya lama dan membosankan, kami adalah generasi kreativiti dan inovasi. Oleh itu, Limkokwing University adalah tempat terbaik untuk saya.

“Saya tahu universiti ini akan membuka jalan dan memberi peluang untuk memenuhi impian saya,” katanya.

Beliau yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal dari keluarga berpendapatan rendah dengan lima adik beradik, kini bekerja sebagai pengajar di sebuah makmal komputer dan menjadi tutor pelatih ICT secara separuh masa di Euro-Africa Campus, sebuah institusi pengajian tinggi di sini, selepas menamatkan persekolahan tinggi untuk membiayai pendidikannya.

Ibunya mencari nafkah untuk keluarga dengan bekerja di kilang pembuatan peti sejuk di daerah Matsapha, kira-kira 10 kilometer dari sini. Bapa Masangane meninggal pada 2007.

CERAH MASA DEPAN

Walaupun kampus itu terletak di daerah Mbabane, kira-kira 100 kilometer dari rumahnya di Ludzeludze, di daerah Manzini, beliau berulang-alik ke kolej setiap hari.

Perjalanannya mengambil masa kira-kira dua jam dengan pertukaran tiga kenderaan sewa untuk menghadiri kuliah 8.00 pagi. Bagaimanapun, beliau sedar bahawa ia adalah pengorbanan dalam usaha merealisasikan impiannya.

Beliau berkata Limkokwing Swaziland menjadi harapan rakyat negara itu. Saban tahun, golongan ibu bapa tersenyum apabila anak-anak mereka tamat pengajian, memulakan perniagaan atau mendapat pekerjaan.

“Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada pengasas dan presiden Limkokwing University Tan Sri Lim Kok Wing kerana membantu negara ini, membuka peluang kepada kami untuk maju agar lebih bersedia mencapai Vision 2022,” katanya merujuk kepada wawasan negara itu untuk muncul sebagai negara dunia pertama menjelang 2022.

Pada masa ini, Masangane bekerja sambilan sebagai penulis skrip dan pengacara di TV Video Waves Production.

“Terima kasih kepada pensyarah dan mentor saya, Rheli Mugisha yang memberikan peluang setelah melihat bakat dan potensi saya dalam bidang penyiaran,” katanya.

Pada bulan Mei tahun ini, Masangane dan sekumpulan pelajar filem lain menubuhkan sebuah syarikat pembikinan filem dan tv yang dinamakan ‘Afreemedia Group’.

“Kami menumpukan pada penggambaran; penulisan skrip dan pembikinan filem, mempromosi cerita tempatan buat masa sekarang. Kami telah menulis tiga skrip filem setakat ini.

“Kami sedang berusaha ke arah pembikinan filem seterusnya iaitu ‘Yes You Can’, sebuah filem drama pendidikan dan berharap dapat ditayangkan tidak lama lagi,” katanya.

MENGIKUT JEJAK RATU

Masangane adalah salah seorang wanita di Swaziland yang bakal mengikut jejak dua orang ratunya - Inkhosikati Make Lamotsa dan Inkosikati Make Lambikiza - lulusan universiti berkenaan dengan mendapat ijazah Associate Degree dalam Rekabentuk Grafik, iaitu bidang baharu di Swaziland dan masih kekurangan tenaga mahir.

Menamatkan pengajian dalam Fakulti Rekabentuk dan Inovasi, Limkokwing Swaziland, kedua-dua ratu itu menjadi sumber inspirasi bagi rakyat negara ini dan contoh kepada golongan wanita untuk berusaha bersungguh-sungguh mengejar kerjaya yang di luar kelaziman.

Lamotsa dan Lambikiza juga menerima anugerah khas semasa majlis tamat pengajian. Lamotsa dianugerahkan ‘Leadership in Creativity Award’ manakala Lambikiza pula menerima anugerah ‘Leadership in Design and Innovation Award’.

Sejak penubuhannya pada 2011, Limkokwing Swaziland telah melahirkan lebih 3,000 graduan.

Raja Swaziland Mswati III juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Lim Kok Wing kerana menyokong pembangunan modal insan di Swaziland.

“Limkokwing University telah memasukkan inovasi, kreativiti dan teknologi pintar yang amat diperlukan ke dalam agenda akademiknya. Universiti ini telah merancang program-program inovatif yang diperlukan dalam ekonomi negara serta memperkasakan generasi muda agar bersedia menyertai industri berkaitan.

“Saya yakin dengan kemampuan Lim dan pasukannya membantu kerajaan ini ke arah Wawasan 2022,” katanya. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement