Anda di sini

Sarawak kehilangan seorang lagi tokoh pemimpin hebat

 Abang Johari dan isteri Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Celestine. Turut kelihatan Elizabeth (tiga kiri) serta anak-anak mendiang.
SATU KEHILANGAN BESAR: Abang Johari dan isteri Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Celestine. Turut kelihatan Elizabeth (tiga kiri) serta anak-anak mendiang.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kehilangan seorang lagi tokoh pemimpin hebat apabila Tan Sri Celestine Ujang Jilan meninggal dunia malam kelmarin.

“Tan Sri bukan hanya pemimpin malah kawan dan rakan sekerja yang telah menjadikan Sarawak hari ini bersama-sama pemimpin.

“Beliau memainkan peranan mempertajamkan kerajaan negeri dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam krisis yang dihadapi pada 1987.

“Beliau banyak menyumbang kepada kestabilan Sarawak terutamanya selepas 1987,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Jalan Urat Mata dekat sini, semalam.

Abang Johari berkata, Ujang mula menceburi politik pada usia muda dan menjadi ahli kabinet negeri pada 1974 dan memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, sebelum menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kembali dalam kabinet negeri.

“Sebagai Ketua Pemuda PBB ketika itu, saya dan Datuk Amar Daouglas Uggah (Embas) bekerja di bawah beliau.

“Banyak perkara yang kami pelajari daripada beliau dan seterusnya parti mempunyai ramai pemimpin muda berkaliber selepas itu,” katanya sambil menambah PBB sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti Ujang.

Abang Johari yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan Presiden PBB berkata, Ujang orang yang berperanan menyatukan PBB apabila secara sukarela membantu rakan-rakan lain dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menyertai kerajaan dengan melepaskan jawatan dalam kabinet yang dipegangnya ketika itu.

“Beliau memberitahu, ‘saya akan letak jawatan dan memberi laluan kepada rakan-rakan kita dalam BN untuk menubuhkan kerajaan yang sangat kukuh’.

“Itulah pengorbanan mendiang yang sangat besar kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

“Tindakan beliau itu akhirnya membolehkan PBDS menyertai kerajaan ketika itu.

“Dengan kata lain, beliau sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kestabilan kerajaan. Jadi hari ini kita kehilangan pemimpin yang hebat,” tambahnya lanjut.

Mengenai karektor mendiang, Abang Johari berkata, beliau seorang pemimpin yang adil dan tegas.

Mendiang katanya, sentiasa mementingkan kesetiaan dan perpaduan serta mengutamakan parti dan negeri berbanding kepentingan peribadinya.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan takziah kepada isteri mendiang Puan Sri Elizabeth Pawa serta anak-anak beliau.

“Saya percaya sikap mendiang ada dalam anak-anak beliau untuk terus berkhidmat kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Ujang meninggal dunia kira-kira jam 7.40 malam Rabu lepas di sebuah hospital swasta kerana sakit yang lama ditanggungnya selama ini.

Mendiang, 71, meninggalkan balu Puan Sri Elizabeth Pawa dan tiga anak perempuan — Malvina, Angelina dan Priscilla.

Ujang merupakan ADUN Kemena selepas memenangi kerusi itu sebagai calon Barisan Nasional (BN)pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1974 dan menjadi ADUN Kemena hingga 2001.

Mendiang memegang beberapa portfolio dalam Kabinet negeri iaitu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1974-1974), Menteri Perumahan (1980-1981)dan Menteri Pembangunan Tanah (1988-1994).

Selain itu, mendiang pernah menjadi Speaker DUN pada 1982 hingga 1987.

Sebelum menceburi politik pada 1974, mendiang berkhidmat sebagai pegawai tadbir dengan kerajaan negeri pada 1966 hingga 1973.

Mendiang pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum meninggalkan dunia politik pada 2001.

Selepas itu mendiang menceburi bidang perniagaan dan menjadi Penasihat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).

Mendiang akan dikebumikan Sabtu ini di Tanah Perkuburan Nirvana dekat sini.