Anda di sini

RM9.5 juta baiki jalan raya di km251.6 jalan Sandakan-Tawau

Advertisement
 Pairin menyatakan sesuatu kepada para pemimpin yang turut menyertai rombongan kerjanya mengenai situasi jalan raya yang mendap di KM251.6 Jalan Sandakan-Tawau.
FAKTOR CUACA: Pairin menyatakan sesuatu kepada para pemimpin yang turut menyertai rombongan kerjanya mengenai situasi jalan raya yang mendap di KM251.6 Jalan Sandakan-Tawau.

TAWAU: Kira-kira RM9.5 juta peruntukan diperlukan untuk memulihkan semula jalan raya di KM251.6 Jalan Sandakan-Tawau, di Batu 14 Jalan Apas di sini, yang mengalami mendapan dan runtuhan semenjak 21 Disember 2017.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata angka itu mengikut data Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

“JKR Sabah sudah membuat permohonan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi JKR pada 26 Disember untuk pelan jangka masa panjang.

“Namun untuk pelan jangka masa pendek, kita perlu perbaiki kerosakan yang ada dengan membina benteng, menutup laluan pembetung dan membina laluan air alternatif.

“Kita perlu membaiki jalan raya ini dan buat analisis supaya pelan jangka masa pendek oleh jurutera dapat dilakukan secepat mungkin (dijangka siap enam bulan),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja ke lokasi kejadian dan mendapatkan taklimat situasi sebenar daripada JKR Sabah, di sini pada Selasa.

Beliau berharap kerja membaiki kerosakan jalan raya itu untuk pelan jangka masa panjang dapat dimulakan pada pertengahan tahun ini.

Pairin mengakui terkejut mendapati wujudnya mendapan di jalan raya terbabit, sedangkan sudah 14 tahun jalan raya itu digunakan tanpa mengalami sebarang masalah sedemikian rupa.

“Berdasarkan taklimat JKR Sabah, mungkin keadaan itu berlaku akibat faktor cuaca yang tidak menentu kerana taburan hujan berlebihan yang turun di rantau Asia Tenggara.

“Selain faktor hujan lebat, mungkin juga keadaan ini berlaku akibat impak gegaran gempa bumi (pada 21 Disember 2017, sehari sebelum mendapan mula dikesan),” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati dua komponen pembetung di lapisan bawah tanah jalan raya terbabit sudah terpisah menyebabkan air mengalir keluar dari laluan asal.

Sekali gus menyebabkan kekuatan tanah di kawasan itu semakin lemah dan mendapan sepanjang 60 meter, dengan lebar 45 meter dan ketinggian mencapai tahap 24 meter.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Ghulam Haidar Khan, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur Datuk Michael Emban dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Amrullah @Ambrullah Kamal.

Advertisement