Anda di sini

Pemilik rumah gagalkan cubaan curi bateri kereta

MIRI: Kepantasan seorang pemilik rumah yang menjadi mangsa pencerobohan menjurus kepada penahanan dua lelaki yang disyaki menceroboh dan mencuri bateri kereta di rumahnya di Jalan Taman Delight Utama di sini, Isnin lepas.

Lelaki berusia 37 tahun itu berjaya menjejaki kedua-dua suspek di Jalan Padang Kerbau.

Menurut sumber, kejadian itu disedari mangsa kira-kira jam 5.15 petang apabila melihat dua lelaki berada di luar rumahnya.

Kedua-dua suspek kemudian masuk ke dalam kawasan rumahnya dan dipercayai mengambil sebuah bateri kereta terpakai di hadapan rumah.

“Mangsa cuba menahan kedua-dua suspek tetapi mereka berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta.

“Mangsa kemudiannya menghubungi pasukan peronda polis komuniti untuk meminta bantuan mengejar suspek,” kata sumber.

Kedua-dua suspek yang berjaya ditahan kemudiannya diserahkan kepada anggota kereta peronda polis (MPV) untuk tindakan selanjutnya.