Anda di sini

Negara tidak boleh ada pemimpin kitar semula - Abang Johari

Advertisement

KUCHING: Gagasan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya melangkah ke arah masa depan yang lebih gemilang dalam agenda transformasi  negara, dan memahami bahawa Malaysia  tidak boleh mempunyai ‘pemimpin kitar semula’ untuk merealisasikannya.’

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata di Sarawak, kebanyakan pengundi adalah golongan muda, dan golongan muda ini lebih suka melihat sesuatu yang baharu, sebuah agenda yang ‘futuristik’ bagi mereka.

Bercakap pada  sidang  berita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Negeri di sini hari ini, beliau berkata melihat ke masa depan merupakan cara untuk negara melangkah menuju kemajuan.

“Bagi negeri Sarawak, kita mempunyai tanggungjawab untuk mencapai matlamat tahun 2030, dalam menjadi sebuah ekonomi yang maju… dan pemimpin  BN bersetuju untuk menggunakan wadah yang sama bagi  Sarawak untuk mara ke  hadapan, sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik, BN akan menjadi penggerak utama,” katanya.

Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN.
Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN.

Beliau menegaskan hubungan baik antara BN negeri dan Persekutuan mewujudkan suasana  yang baik untuk membangunkan  Sarawak dalam konteks Malaysia.

Abang Johari berkata  Sarawak berterima kasih apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi maklum balas positif kepada soal ‘penurunan kuasa’ yang dibangkitkan oleh negeri ini, dan kesediaan beliau untuk mendengar serta berunding tentang perkara itu.

Beliau berkata fasa pertama rundingan berkaitan aspek petadbiran telah pun dipersetujui, manakala fasa kedua yang menyentuh tentang perlembagaan negeri merupakan perkara ‘rumit’, yang memerlukan perbincangan lebih terperinci.

“Berada dalam persekutuan tidak bermakna kita tidak boleh membangkitkan isu ini. Kita berada dalam Malaysia, sentiasa dalam  Malaysia, dan selama-lamanya dalam Malaysia. Kita hanya mahu berbincang tentang hak perlembagaan, untuk mendapatkan kembali apa jua kuasa yang terhakis,” katanya.

Beliau berkata perdana menteri secara terbuka menyatakan kesemua ini boleh dibincangkan dengan dua syarat, iaitu tiada perbincangan tentang peralihan kuasa, dan ia hanya boleh dibincangkan dalam kalangan keluarga BN. - BERNAMA

Advertisement