Anda di sini

Klinik 1Malaysia di Sandakan satu rahmat

Advertisement

SANDAKAN: Pewujudan tujuh Klinik 1Malaysia di daerah ini membolehkan masyarakat mencapai akses rawatan kesihatan dengan mudah.

Tujuh klinik tersebut terletak di Bandar Leila, Bandar Labuk, Bandar Letat, Karamunting, Taman Seletar, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni dan Gum-Gum di Batu 16.

Pegawai Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata pemilihan lokasi Klinik 1Malaysia yang berdekatan dengan kawasan perumahan memudahkan ia dikunjungi oleh penduduk di sekitar.

Katanya Klinik 1Malaysia Bandar Leila adalah yang pertama dibuka di daerah ini pada 2010 dan terbaharu di PPR Taman Murni pada tahun lepas.

Beliau berkata dianggarkan 60 hingga 120 pesakit mendapatkan rawatan di klinik tersebut setiap hari dengan paling ramai di Bandar Leila seramai 90 hingga 120 orang.

Klinik ini diwujudkan agar dapat memperluaskan kemudahan kesihatan kepada penduduk di daerah ini selain klinik kesihatan sedia ada dan hospital daerah, katanya kepada Bernama di sini.

Ia dibuka mulai jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari kecuali cuti am dengan setiap pesakit hanya dikenakan caj RM1 bagi warganegara Malaysia dan percuma untuk warga emas.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah rawatan untuk demam, batuk, selesema, rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil termasuklah penyakit kencing manis, darah tinggi dan prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka serta buka jahitan.

Dr Johari berkata rawatan kesihatan di setiap klinik tersebut menjadi keutamaan dengan menempatkan seorang doktor yang dibantu oleh pembantu perubatan dan jururawat.

Dalam pada itu, pihaknya juga merancang untuk menyediakan perkhidmatan rawatan ibu dan anak di Klinik 1Malaysia di Taman Seletar dan PPR Taman Murni.

Rata-rata rakyat begitu menghargai usaha kerajaan mewujudkan Klinik 1Malaysia yang disifatkan dapat memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan.

Ishak Ibrahim, 62, dari Kampung Sungai Kayu, ketika ditemui di Klinik 1Malaysia PPR Taman Murni berkata pewujudan klinik tersebut yang terletak tidak jauh dari kampungnya memudahkan dia untuk datang mendapatkan rawatan.

Katanya dia tidak perlu pergi jauh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan dan ini menjimatkan dari segi kos pengangkutan menaiki bas.

Pendapatnya turut dikongsi Mohd Tahir Bin Raba, 64, dari Kampung Tinusa Dua yang menyifatkan usaha kerajaan mewujudkan Klinik 1Malaysia dapat memenuhi keperluan rawatan kesihatan rakyat.

Katanya caj yang dikenakan hanya RM1 dan ubat percuma di klinik itu dapat meringankan beban rakyat.

Bagi Jeffry Bagul, 47, pula lokasi Klinik 1Malaysia di PPR Taman Murni yang berhampiran tempat tinggalnya memudahkan dia untuk mengambil ubat penyakit darah tinggi dan tidak perlu pergi ke hospital.

Katanya usaha mewujudkan klinik itu menunjukkan kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik dalam menyediakan kemudahan atau perkhidmatan serta meringankan beban rakyat. — Bernama

Advertisement