Anda di sini

Kes empat bekas pengarah Syarikat Genneva ditangguh lagi

Advertisement

PUTRAJAYA: Kes empat bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd (GSB) dan syarikat itu yang didapati bersalah atas 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta ditangguhkan lagi buat kali kedua.

Mahkamah Rayuan semalam sepatutnya mendengar mitigasi dan kemudiannya menjatuhkan hukuman terhadap kelima-lima responden iaitu Ng Poh Weng, 67, Marcus Yee Yuen Seng, 65, Chin Wai Leong, 41, dan Liew Chee Wah, 63, dan syarikat itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menangguhkan kes itu ke 5 Feb selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya kes itu ditangguhkan bagi membolehkan mereka menyelesaikan isu berkaitan pertuduhan dihadapi responden-responden.

Terdahulu Hamdan memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat kekeliruan berkaitan pertuduhan dihadapi oleh responden berikutan semasa di Mahkamah Sesyen mereka didakwa atas 760 pertuduhan pengubahan wang haram sedangkan hari ini (semalam) hanya 224 pertuduhan terhadap mereka.

Beliau berkata pegawai penyiasat kes itu yang merupakan saksi pihak pendakwaan ke-42 memaklumkan bahawa responden menghadapi 760 pertuduhan, bagaimanapun tidak terdapat dalam mana-mana nota keterangan dan juga rekod rayuan berhubung jumlah 760 itu.

“Setakat ini pihak kami tidak dapat mengesan dan jumpa jumlah pertuduhan yang dikurangkan kepada 224 itu. Kami memerlukan masa untuk kenal pasti pertuduhan yang digugurkan,” katanya di hadapan Hakim  Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Hakim Abdul Karim juga berkata di dalam notis rayuan dan nota keterangan di Mahkamah Tinggi dan Sesyen menyebut 224 pertuduhan dan kes di hadapan mereka juga adalah berjumlah 224 pertuduhan.

Muhammad Shafee memohon supaya kes itu ditetapkan pada akhir Januari atau awal Februari dan mahkamah menetapkan 5 Feb untuk mendengar rayuan terhadap hukuman dan keputusan kerana Hakim Zakaria akan bersara  Mac ini.

Pada 12 Dis, 2017, mahkamah mendapati kempat-empat bekas pengarah GSB dan syarikat tersebut bersalah atas 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Hakim Mohtarudin berkata mahkamah sebulat suara mendapati pihak pendakwaan selaku perayu dalam kes ini telah berjaya membuktikan pertuduhan yang dihadapi kesemua responden melampaui keraguan munasabah.

Kempat-empat responden dituduh bersama-sama atas 224 pertuduhan pengubahan wang haram. Mereka dan syarikat juga dituduh secara berasingan atas lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan membebaskan mereka terhadap daripada pertuduhan itu

 Pada 20 Sept, 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan kesemua mereka selepas mendapati syarikat pelaburan itu hanya menjalankan aktiviti jual beli emas secara fizikal dan tiada bukti bahawa syarikat tersebut mengambil deposit tanpa lesen.

Pada 16 Mei, 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebas dan melepaskan keempat-empat individu terbabit selepas mendapati keterangan pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram di Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka juga menghadapi pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di premis syarikat di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur, antara November 2008 dan Julai 2009. — Bernama

Advertisement