Anda di sini

Dua mekanik didakwa merogol dan melakukan pemerasan

 Anggota polis membawa Mohd Kamaruzzaman, Muhd Azrul dan Mohd Badrul untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuantan semalam atas tuduhan merogol dan melakukan pemerasan serta menyamar sebagai pegawai Jabatan Agama Islam Pahang untuk meminta wang sebanyak RM200 terhadap seorang pembantu kedai pada akhir Disember lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Anggota polis membawa Mohd Kamaruzzaman, Muhd Azrul dan Mohd Badrul untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuantan semalam atas tuduhan merogol dan melakukan pemerasan serta menyamar sebagai pegawai Jabatan Agama Islam Pahang untuk meminta wang sebanyak RM200 terhadap seorang pembantu kedai pada akhir Disember lalu. — Gambar Bernama

KUANTAN: Dua mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuantan, di sini semalam, masing-masing atas pertuduhan merogol dan melakukan pemerasan terhadap seorang pembantu kedai pada Disember lalu.

Di Mahkamah Sesyen, Mohd Kamaruzzaman Mohd Kamarul Ariffin dan Muhd Azrul Nizam Azri, masing-masing 30 tahun, didakwa secara berasingan merogol mangsa berusia 20 tahun di sebuah rumah dekat Lorong Setali 89 dekat sini, antara jam 2 pagi hingga 3.30 pagi pada 29 Dis lalu, menurut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfatinah Abu Bakar manakala Mohd Kamarul Ariffin diwakili peguam Muhamad Saifuldin Ab Rahman dan Muhd Azrul diwakili peguam Aiman As’ad Mohd Ghani.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin masing-masing sementara menunggu kes disebut semula pada 15 Februari ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa yang sama menyebabkannya telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM200 dan telefon bimbit jenama Nokia 3 miliknya bernilai RM609.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di tepi Pantai Teluk Cempedak pada 28 Dis lalu pada 10.30 malam menurut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.  

Majistret Nordiana Abd Aziz menetapkan 15 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin masing-masing.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan.

Kedua-dua lelaki itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret 1 dan bersama-sama seorang lagi rakan mereka yang juga mekanik, Mohd Badrul Rashidan Hanipha, 19, didakwa menyamar pegawai Jabatan Agama Islam Pahang untuk meminta wang sebanyak RM200 daripada mangsa yang sama, di tempat serta waktu yang sama.

Ketiga-tiga  mereka dituduh mengikut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda  atau kedua-duanya.

Mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah yang kemudian menetapkan 25 Jan ini sebagai tarikh serahan dokumen yang berkaitan dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Di kamar yang sama, Muhd Azrul yang telah beristeri dan mempunyai tiga anak, berhadapan dengan satu lagi pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenis Nokia 3 milik mangsa bernilai RM609.

Kesalahan dilakukan kawasan Pantai Batu Hitam pada 7 malam 30 Dis lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaiamanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 sebelum tarikh sebutan semula kes pada 15 Feb depan. — Bernama