Anda di sini

Demi adik kesayangan

Advertisement
 Jeffery semasa ditemui di tempat kejadian.
’WIRA’ ADIK: Jeffery semasa ditemui di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang abang hanya sempat bertuala semata-mata untuk membawa adiknya yang kudung keluar daripada rumah mereka yang ranap dijilat api dalam kebakaran di Jalan Stapok di sini, semalam. Jeffrey Kasim, 52, semasa kejadian dikatakan baharu pulang dari kerja dan terus masuk ke bilik mandi sebelum menyedari rumah mereka yang dihuni keluarganya sejak 80 tahun lalu terbakar sekitar jam 10.30 malam.

Menurutnya, ketika itu dia hanya memikirkan adiknya Jamil Kasim, 49, lantas segera keluar dari bilik mandi untuk menyelamatkannya.

“Saya baharu pulang ke rumah dan terus mandi apabila tiba-tiba rumah kami terbakar. Pada masa itu saya hanya memikirkan adik saya yang kudung.

“Tanpa melengahkan masa, dengan hanya bertuala saya terus keluar dari bilik mandi untuk segera mendapatkan adik saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

“Keadaan ketika itu amat terdesak kerana api semakin besar menyebabkan saya panik dan terpaksa mengheret adik saya keluar dari rumah disebabkan badannya yang berat.”

Orang ramai yang melihat kebakaran tersebut kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

 Keadaan rumah mangsa yang terbakar.
HANGUS: Keadaan rumah mangsa yang terbakar.

Jurucakap JBPM Sarawak dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 10.52 malam.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi kejadian jam 10.56 malam dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah yang hangus sepenuhnya.

“Pihak bomba bertindak membuat pemadaman dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 12.50 pagi,” katanya.

Turut hadir di lokasi kejadian sembilan anggota BBP Kuching.

Menurutnya, Jamil yang berjaya diselamatkan abangnya telah menerima rawatan kecemasan di tempat kejadian akibat melecur di bahagian belakang badannya sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Mangsa tiada kedua-dua belah kaki (kudung) yang dipotong akibat menghidap diabetes dan kemungkinan mangsa akan dirujuk ke ‘Burn Centre’ untuk pemeriksaan dan rawatan susulan di belakang badannya yang melecur,” katanya.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, namun siasatan lanjut pihak bomba masih dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement