Anda di sini

Album baharu Masterpiece ‘Ensera Paragon’ akan dijual secara digital

 Masterpiece akan menggunakan kaedah pasaran digital menerusi album baharu mereka pada tahun ini.
REVOLUSI: Masterpiece akan menggunakan kaedah pasaran digital menerusi album baharu mereka pada tahun ini.

SEIRING dengan ekonomi digital yang sering menjadi seruan pemimpin di negeri ini, industri muzik Iban amnya Dayak bakal mewujudkan pasaran digital yang mungkin pertama kali akan diguna pakai mulai tahun ini.

Mungkin tiada lagi penjualan album DVD, VCD ataupun CD daripada para penyanyinya kerana corak sedemikian dilihat agak rumit dan sudah tidak relevan lagi.

Masalah cetak rompak yang tiada jalan penyelesaiannya dilihat telah ‘membunuh’ industri muzik Dayak dan membuatkan ramai syarikat-syarikat pengeluar lagu Dayak ‘tutup kedai’ atau menanggung kerugian.

Justeru, kumpulan rock popular Iban dari Sibu, Masterpiece akan menggunakan kaedah terbaharu itu dalam pengeluaran album baharu mereka pada tahun ini dengan cara pasaran digital.

Mereka adalah artis Iban pertama di negeri ini ang akan mengeluarkan album secara digital tanpa menggunakan VCD ataupun CD bagi memperkenalkan kaedah baharu dalam industri muzik Iban di negeri ini.

Utusan Borneo baru-baru ini berkesempatan menemuramah vokalis utama kumpulan Masterpiece Depha yang telah memperkenalkan jualan digital sedemikian bagi mengelakkan kerugian disebabkan masalah cetak rompak yang dilihat lama telah ‘menjatuhkan’ industri muzik Iban sejak sekian lamanya.

“Kami bercadang tahun ini akan mengeluarkan album terbaharu yang berjudul ‘Ensera Paragon’ namun kali ini ia lain dari yang lain kerana kami menggunakan jualan secara digital.

“Seperti saranan pemimpin kita di negeri ini, jualan digital sebegini lebih cepat, mudah, murah, selamat dan mampu menjana pendapatan yang tinggi dengan menggunakan teknologi,” katanya yang kini bertugas di Mumbai, India.

Menurutnya, kaedah digital ini harus diguna pakai oleh industri muzik Iban bagi mengelakkan kerugian akibat masalah cetak rompak seperti industri-industri muzik di Semenanjung Malaysia yang tidak terlalu mengharapkan jualan VCD kerana majoriti artis di sana memperolehi pendapatan melalui royalti menerusi jualan album secara digital.

“Jualan digital lebih relevan ketika ini apatah lagi zaman sekarang penggunaan internet semakin meluas. Setiap telefon bimbit kini ada internet. Ini bermakna dunia tanpa sempadan dan semuanya ada di hujung jari anda.

“Tidak selamanya industri muzik Dayak hanya bergantung kepada pengeluaran VCD sahaja. Mungkin 10 tahun dari sekarang, dianggarkan 80 peratus dari 2.7 juta penduduk di Sarawak akan mendapat liputan komunikasi yang meluas tidak kira di bandar mahupun luar bandar dan pedalaman sekali gus dapat merealisasikan pasaran digital lagu Dayak lebih terjamin dan meluas. Sekarang sudah tiba masanya kita menuju impian tersebut. 

“Justeru, industri muzik Iban harus berubah dan tidak terlalu bergantung dengan mengeluarkan VCD lagi kerana kaedah sedemikian sudah tidak dapat lagi menjamin pendapatan kita,” tegasnya lagi.

Depha memberitahu bahawa jualan melalui digital adalah jualan di atas talian (online) yang menggunakan platform ataupun aplikasi seperti Itunes, Deezer, Amazon dan Spotify.

Album yang dijual menerusi pasaran digital itu adalah lebih kepada audio penuh lagu yang berkualiti tinggi menerusi format MP3.

Jelasnya, dengan penggunaan cara sedemikian pakej album bukan sahaja dapat dibeli di kedai malah ia boleh dibeli secara online menggunakan kaedah digital store.

“Dengan kaedah digital ini, jualannya tetap sama dan kelebihan utamanya ialah jualan secara digital ini lebih memudahkan para peminat membeli produk original dari kami dan ia adalah pasaran global iaitu jualannya tidak terhad.

“Dari segi bajet penghasilannya jauh lebih murah berbanding kita mengeluarkan album menerusi VCD yang berpotensi besar untuk rugi akibat cetak rompak.

Kata Depha, industri muzik Iban amnya Dayak menerusi syarikat-syarikat pengeluaran dan rakamannya di negeri ini perlu berani menggunakan kaedah pasaran digital bagi melindungi hasil karya mereka sekali gus mampu menjana pendapatan yang lebih terjamin.

Jelasnya, banyak syarikat-syarikat pengeluar lagu Dayak sudah ‘tutup kedai’ akibat bebanan dari masalah cetak rompak yang tiada jalan penyelesaiannya.

“Masterpiece akan menggunakan kaedah pasaran digital ini dan menukar corak lama ke corak baharu. Corak lama yang dilihat kian tidak relevan lagi perlu ditukar dan sama-samalah kita mewujudkan pasaran digital dalam industri muzik Iban amnya Dayak di negeri ini.

“Kami bersedia untuk berkongsi penge-tahuan, pan-dangan dan ilmu kepada syarikat-syarikat pengeluar lagu Dayak di negeri ini seandainya mereka berminat. Tetapi biarlah kami memulakan pasaran digital ini dulu dan kita lihat bagaimana kejayaannya kelak,” ujarnya lagi.

Beliau memberitahu bahawa bila tiba masanya kelak, Masterpiece akan umumkan bila tarikh album baharu mereka mula dijual di pasaran digital menerusi aplikasi-aplikasi tertentu dan dibeli secara online.

“Kita akan umumkan kepada para peminat menerusi laman sosial kami atau media bagaimana acara membeli album baharu ini menerusi pasaran digital. Ia adalah sesuatu yang baharu dan ia memerlukan panduan dari kami,” katanya lagi.

Ditanya adakah Masterpiece akan mengeluarkan VCD atau CD pada album baharu mereka ini kelak, Depha berkata, mereka teragak-agak untuk mengeluarkan VCD iaitu pembikinan klip video disebabkan masalah cetak rompak.

Menurutnya, kalau CD iaitu bentuk audio sahaja mungkin ia akan dikeluarkan kerana risikonya tidak terlalu tinggi seperti VCD.

“Jangan risau, kami akan cuba menghasilkan klip video untuk edisi karaoke bagi yang gemar menyanyi karaoke namun ia mungkin untuk keluaran Youtube sahaja.

“Keluaran klip video menerusi Youtube juga turut menjana pendapatan menerusi iklannya. Mungkin kami akan menggunakan cara sedemikian namun saya tidak mahu terlalu awal mengulas mengenainya sekarang,” jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai album ‘Ensera Paragon’ ini, Depha memberitahu bahawa album itu kini dalam proses akhir ‘Mastering’.

Katanya, album ini akan dikeluarkan secara pasaran digital menerusi Warner Music Malaysia lalu diikuti dengan jualan CD menerusi syarikat mereka sendiri.

Proses rakaman album ini dijalankan di Masterjam Studio manakala proses ‘Mastering’ dijalankan di I-Musik Studio.

Iskandar Bujang adalah jurutera audio yang bertanggungjawab dalam pembikinan album ini.

Album baharu ini merupakan album kelima Masterpiece selepas album pertama mereka ‘Merindang Ke Bintang’ yang dikeluarkan pada tahun 2009, diikuti ‘Rock & Roll’ (2013), ‘Ngap Sayot’ (2014) dan ‘Ngarapka Nuan Nikal Pulai’ (2016).

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ‘Ensera Paragon’ ini ialah ‘Anang Irau’, ‘Bintang Jalai’, ‘Daliyah’, ‘Diva Enigma’, ‘Kaban’, ‘Taja Semalam Aja’, ‘Carut Mentaliti’, ‘Perecha’, ‘Apokalips’ dan ‘Kunci Meligai Ati’.

Kesemua lagu tersebut dihasilkan oleh Depha sebagai komposernya manakala beliau dan Will turut bertindak sebagai penyusun muziknya.

Selain itu, Masterpiece turut terlibat dalam album kompilasi iaitu ‘Mansau Leka Padi’ yang dikeluarkan pada tahun 2011, ‘Berami Ba Ati Nuan’ (2014) dan ‘Nadai Ati Berami’ (2015).

Masterpiece adalah band pertama rock Iban yang mencipta revolusi pada suatu ketika dahulu menerima pembaharuan dalam konsep lagu mereka sehingga membuka mata peminat di Industri Muzik Dayak.

Masterpiece dianggotai oleh tujuh orang anak watan Sibu yang terdiri daripada Depha yang bertindak sebagai vokalis, komposer dan penulis lirik, Willy (gitar utama/juruteknik perakam studio), Kent (gitar kedua/vokalis kedua), Marcus (Bass), Harold @ Iho (drums), Roslee Qadir (keyboardis) dan Valentine Jimmy (keyboardis).