Anda di sini

Paip gas Petronas bocor di Lawas

LAWAS: Penduduk di Long Luping cemas selepas mendengar bunyi kuat berikutan kebocoran saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) yang berlaku jam 1.45 pagi tadi.

Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim yang bergegas ke lokasi tadi memberitahu, kebocoran paip SSGP berlaku di kawasan jauh dari penempatan penduduk Long Luping dan Meringau.

"Tiada letupan berlaku dan insiden kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kejadian hanya melibatkan kebocoran paip SSGP yang mengeluarkan bunyi yang kuat," katanya hari ini.

Hussaini berkata pihak Petronas yang menyedari insiden itu telah menutup lima injap paip gas berkenaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Zaki Husin memberitahu anggotanya sedang bergerak ke lokasi kejadian bersama Pegawai Daerah Lawas.

Jelasnya maklumat diterima jam 2.20 pagi tadi daripada pekerja Samling Merarap.

Katanya, kebocoran gas berkenaan berlaku jauh dari penempatan.

"Pihak Petronas telah mematikan lima injap paip yang bocor, "katanya lagi.

Insiden kebocoran gas merupakan yang kedua selepas kebocoran yang berlaku pada 10 Jun 2014.
 
Dalam pada itu, Petronas hari ini mengesahkan kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh Perhubungan Media Sabah dan Pejabat Wilayah Labuan, mengesahkan bahawa kebocoran gas telah berlaku jam 1. 45 pagi tadi  di Long Luping. 

Pasukan Respons Kecemasan telah digerakkan dan meletakkan keadaan di bawah kawalan dan semua pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan. 

"Tiada kesan kepada masyarakat sekitar dan persekitaran. Siasatan masih dijalankan," kata kenyataan itu.