Anda di sini

Mayat pelajar dalam but kereta, kekasih ibu ditahan

Advertisement
 

Daya pemerhatian tajam anggota MPV membawa kepada penangkapan lelaki tersebut serta penemuan mayat remaja dalam but kereta

Daya pemerhatian tajam anggota MPV membawa kepada penangkapan lelaki tersebut serta penemuan mayat remaja dalam but kereta

MIRI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dijumpai mati dalam but sebuah kereta, dipercayai dibunuh oleh teman lelaki ibunya dalam satu kejadian di Jalan Perlis, Kuala Baram petang tadi.

Ketika dijumpai, mangsa yang berusia 13 tahun dikatakan masih memakai pakaian seragam sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi mengesahkan kes itu.

Terdahulu katanya sekitar jam 5.55 petang tadi, pasukan polis dari unit kereta peronda (MPV) yang melakukan rondaan di Jalan Perlis, Kuala Baram telah terserempak dengan sebuah kereta yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di sebuah lorong berdekatan semak.

"Seorang lelaki kelihatan berdiri di bahagian belakang kereta dengan but terbuka.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit lalu menutup but dan terus masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju kenderaannya," katanya.

Melihat keadaan itu kata Dev, anggota MPV terus mengejar kereta terbabit sejauh lima kilometer sebelum berjaya menahannya ketika berhenti di simpang Pelabuhan Miri, Kuala Baram.

Sebaik ditahan katanya, polis kemudian mengarahkan lelaki berusia 33 tahun itu keluar dari kenderaannya dan membuka but kereta.

"Apabila diperiksa, polis telah menjumpai mayat seorang budak perempuan berusia 13 tahun di dalam but kenderaan tersebut.

"Berikutan penemuan mayat itu, suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan  bekerja di sebuah kedai perabot di sini ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis," ujar beliau lanjut.

Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri sedang melakukan siasatan di tempat kenderaan suspek ditahan.
Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri sedang melakukan siasatan di tempat kenderaan suspek ditahan.

Dalam pada itu menurut Dev lagi, hasil siasatan awal polis mendapati suspek merupakan teman lelaki ibu mangsa dan tinggal bersama mangsa, ibu dan seorang kakaknya di sebuah rumah sewa di kawasan Permyjaya.

Pada pagi tadi katanya, ibu mangsa telah pergi bekerja, manakala kakak telah pergi ke sekolah meninggalkan suspek dan mangsa di rumah.

"Sekitar jam 11 pagi, telah berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa dimana suspek dipercayai telah mencekik mangsa sehingga mati.

"Suspek kemudian membawa mangsa dalam but kereta ke kawasan Kuala Baram untuk membuang mayat terbabit di kawasan semak apabila terserempak dengan kereta peronda," katanya.

Sehubungan itu kata Dev, kes kini dikelasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pemandu kereta MPV, Koperal Mohd Izwan Jamaludin dan krewnya, Koperal Eddy Abdullah atas kejayaan menangkap suspek dan menyelesaikan kes bunuh ini.

"Ini adalah contoh klasik daya pemerhatian polis yang tajam sehingga membawa kepada penangkapan tersebut," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement