Anda di sini

Gempar tanah runtuh

 Anggota bomba meninjau keadaan tanah runtuh di tempat kejadian pagi semalam.
BELUM SELAMAT: Anggota bomba meninjau keadaan tanah runtuh di tempat kejadian pagi semalam.
 Seorang penduduk dirawat anggota APM setelah pengsan.
TERKEJUT: Seorang penduduk dirawat anggota APM setelah pengsan.

Teriakan kanak-kanak kejutkan penduduk yang kemudian bergegas menyelamatkan diri.

MIRI: Teriakan kanak-kanak yang bermain di luar rumah memberi amaran tanah runtuh, mengejutkan sebahagian penduduk Kampung Lereng Bukit yang kemudian bergegas menyelamatkan diri.

 Mohd Suhaili Mahrin, 27, sempat menceritakan ketika kejadian lebih kurang jam 9 malam kelmarin, dia dan isterinya sedang memasak hidangan untuk makan malam di dapur.

 “Semasa membantu isteri saya memasak, tiba-tiba sekumpulan kanak-kanak di luar rumah menjerit ‘tanah runtuh!’, ‘tanah runtuh!’.

 “Saya kemudian terus keluar dari rumah untuk meninjau apa yang berlaku dan terkejut melihat tanah dari atas bukit runtuh dibawa aliran air,” katanya sambil memberitahu, dia bersama isteri dan empat anaknya menyewa rumah di situ lebih kurang setahun.

 Mohd Suhaili yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, selepas melihat kejadian tersebut, dia terus membawa ahli keluarganya keluar dari rumah dan pergi ke tempat lebih selamat.

 Sementara itu, mungkin kerana terlalu terkejut dengan situasi tersebut, seorang lelaki tiba-tiba pengsan semasa dipindahkan ke dewan serba guna kampung tersebut.

 Penduduk terbabit kemudiannya menerima rawatan awal daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 Dalam kejadian malam kelmarin, 31 orang daripada sepuluh keluarga dipindahkan ke dewan serba guna kampung ekoran tanah runtuh berhampiran rumah mereka.

 Mereka diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara kirakira jam 10.30 malam.

 Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, tanah runtuh berbentuk parit seluas dua kaki dari atas bukit berketinggian dalam anggaran 30 kaki terbentuk malam kelmarin.

 “Keadaan tanah runtuh di lokasi kejadian masih lagi terkawal dan tinjauan bomba pagi tadi (semalam) menunjukkan tiada lagi gelongsoran tanah, cuma masih terdapat aliran air.

 “Rumah-rumah berdekatan selamat, cuma sebuah rumah di atas bukit tidak berapa selamat kerana berdekatan aliran air,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 Hujan lebat di sini bermula malam Jumaat lepas dan berterusan sehingga malam kelmarin bukan sahaja menyebabkan tanah runtuh di kampung berkenaan, malah beberapa tempat juga dilaporkan mengalami banjir.