Anda di sini

Penemuan menyayat hati

 Antara ahli keluarga mangsa yang turut sama dalam operasi SAR semalam.
PILU: Antara ahli keluarga mangsa yang turut sama dalam operasi SAR semalam.

BETONG: Mayat Abang Mohamad Haikal Abang Suip yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Dit, Kampung Melayu Dit, dekat sini berjaya ditemui anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mayat tanpa kepala dan kedua-dua tangan serta kaki itu ditemui terapung kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian iaitu di kawasan tanjung berdekatan Kampung Buda.

Menurutnya, mayat mangsa berusia 13 tahun itu ditemui anggota operasi bersama penduduk kampung sekitar jam 10.45 pagi.

“Mayat mangsa yang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Melayu Dit berjaya ditemui sekitar jam 10.45 pagi oleh anggota operasi SARbersama penduduk kampung di kawasan tanjung berdekatan Kampung Buda.

“Bagaimanapun, hanya bahagian badan yang tanpa kepala dan kedua-dua tangan serta kakinya sahaja berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, mayat tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis yang kemudian

 menghantarnya ke Klinik Kesihatan Debak untuk tindakan selanjutnya.

“Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai penemuan ini dan mayat juga telah dihantar ke Klinik Kesihatan Debak untuk pengecaman oleh ahli keluarganya,” katanya lagi.

 Mayat mangsa diusung naik ke darat untuk dihantar ke klinik kesihatan Debak.
DITEMUI: Mayat mangsa diusung naik ke darat untuk dihantar ke klinik kesihatan Debak.

Operasi SAR yang masuk hari kedua semalam selepas laporan kehilangan mangsa dibuat pada petang Rabu lepas dihentikan semalam.

Mangsa sebelum kejadian dikatakan memancing ikan di tebing sungai tersebut bersama saudaranya apabila dipercayai dibaham buaya yang kemudian mengheret mangsa ke dalam sungai sekitar jam 5 petang.

Difahamkan, saudara mangsa yang menyedari insiden itu segera memaklumkan keluarga mereka yang terus berusaha menyelamatkan mangsa sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak JBPM.

Operasi SARdilancarkan selepas itu yang turut disertai anggota polis dari Balai Polis Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.