Anda di sini

Dua pelajar kolej dicekup

 Kedua-dua kenderaan dipercayai milik suspek.
SITA: Kedua-dua kenderaan dipercayai milik suspek.

KUCHING: Seorang remaja memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi antara dua pelajar kolej yang ditangkap selepas disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah dalam satu serbuan petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Sahar Abdul Latif berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah di Jalan Stutong di sini sekitar jam 2.30 petang dan menahan dua pelajar kolej susulan penemuan beberapa jenis dadah.

 Dadah yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS: Dadah yang dirampas daripada suspek.

Menurutnya, kesemua dadah tersebut dirampas dan dianggarkan bernilai RM37,440.

“Kedua-dua suspek ditahan di bilik utama tingkat atas rumah tersebut sebelum seorang daripada suspek menunjukkan kepada pasukan serbuan dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak satu bekas plastik yang diletakkan berdekatan tilam tempat tidurnya.

“Apabila diperiksa, didapati ia mengandungi beberapa jenis dadah iaitu ekstasi dianggarkan bernilai RM28,800, Erimin 5 (RM5,040), serbuk jus buah-buahan dicampur serbuk ekstasi (RM1,800) dan Ketamin (RM1,800),” katanya semalam.

Tambahnya, pil ekstasi yang dirampas sebanyak 114 gram, Erimin 5 (79.50 gram), jus buah-buahan dicampur ekstasi (162 gram) dan Ketamin (18.8 gram).

“Kesemua dadah tersebut dirampas dan kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 20 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” kata Sahar.

 Kedua-dua kenderaan dipercayai milik suspek.
SITA: Kedua-dua kenderaan dipercayai milik suspek.

Selain motosikal berkuasa tinggi, turut disita ialah sebuah kereta dan wang tunai dengan nilai keseluruhan mencecah RM45,208 tidak termasuk nilai dadah.

Sahar memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun 2017.

“Mereka (suspek) mengaku terlibat mengedar dadah sejak tahun lepas (2017) dan turut mengaku terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah jenis Ketamin.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek tiada rekod tangkapan,” kata Sahar sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang memiliki waran tangkap diberkas bersama tiga gadis termasuk seorang berusia 15 tahun selepas keretanya diperiksa di hadapan sebuah hotel di Pending di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata suspek bersama ketiga-tiga gadis terbabit ditahan sebaik sahaja anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuching menerima maklumat sekitar jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua mangsa bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa yang menyalahi undang-undang sehingga pihak polis menemui satu kantung yang didapati mengandungi satu peket plastik disyaki berisi dadah jenis syabu.

“Satu keratan plastik disyaki mengandungi sebiji pil Erimin turut ditemui dalam kantung tersebut.

“Kesemua suspek dimaklum mengenai kesalahan mereka dan ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abang Ahmad berkata, suspek yang mempunyai waran tangkap akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala ketiga-tiga gadis yang ditahan berusia 15 hingga 24 tahun tidak mempunyai pekerjaan. Mereka juga didapati negatif (dadah) selepas melalui saringan awal,” katanya.