Anda di sini

Dibelasah di dataran

Lelaki yang ingin bertemu seorang gadis cedera diserang 12 pemuda tidak dikenali di Dataran Sibu Fasa 2.

 Sebelas pemuda ditahan Pasukan Task Force (D4) BSJD IPD Sibu diketuai ASP Irwan Hafiz di Dataran Sibu Fasa 2 malam kelmarin.
REMAN TIGA HARI: Sebelas pemuda ditahan Pasukan Task Force (D4) BSJD IPD Sibu diketuai ASP Irwan Hafiz di Dataran Sibu Fasa 2 malam kelmarin.

SIBU: Hasrat seorang lelaki bertemu seorang gadis bertukar insiden pembelasahan oleh 12 pemuda di Dataran Sibu, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailanni Amit berkata, terdahulu mangsa, 41, mengajak gadis terbabit, 16, berjumpa di lokasi kejadian, namun terkejut mendapati si gadis membawa sekumpulan lelaki tidak dikenali bersamanya.

Pengadu dibelasah suspek menggunakan kaki dan tangan ketika berjumpa dengan seorang gadis di tempat parkir kereta Dataran Sibu Fasa 2,” katanya.

Akibat dibelasah beramai-ramai, mangsa yang juga pengurus sebuah kedai makan mengalami lebam di telinga kanan, muka dan badan, tambahnya.

Zailanni berkata, kereta pengadu juga dilanggar sedikit serta dihadang dari depan dan belakang oleh kereta suspek-suspek.

Apabila pengadu membuka cermin tingkap, beberapa suspek bertindak menumbuk mukanya sebelum mengheretnya keluar dari kereta dan memukulnya beramai-ramai menggunakan tangan dan kaki.

Dalam kejadian tersebut, kunci dan telefon bimbit milik pengadu dirampas lalu mangsa berjaya melarikan diri sebelum dibelasah lebih teruk,” ujarnya.

Zailanni berkata, punca kejadian dipercayai pengadu memaksa gadis terbabit keluar bersamanya dan perkara itu diketahui suspek yang dikatakan ingin membantu.

Justeru katanya, 11 daripada suspek berusia antara 18 dan 23 tahun ditangkap di Jalan Kampung Nyabor sejurus selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 11.40 malam.

Kesemua suspek ditangkap manakala kunci kereta dan telefon bimbit dirampas,” jelasnya.

Katanya, kesemua suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut dan akan menjalani saringan air kencing.

Manakala, gadis terbabit dan teman lelakinya, 17, yang juga suspek ke-12 ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sentral pada jam 4.30 petang semalam.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan rusuhan dan merompak sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa,” katanya.