Anda di sini

Teruja sesi persekolahan bermula

Advertisement
Dua orang kanak-kanak berumur lima tahun sedang asyik bermain lego yang mana merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sebagai sesi suai kenal bagi hari pertama di pra sekolah Tadika Methodist, Siburan di sini.
Dua orang kanak-kanak berumur lima tahun sedang asyik bermain lego yang mana merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sebagai sesi suai kenal bagi hari pertama di pra sekolah Tadika Methodist, Siburan di sini.

KUCHING:Tidak ada adegan meronta-ronta menangis atau jeritan kanak-kanak yang mahu pulang bersama ibu bapa pada hari pertama persekolahan bagi kebanyakkan sekolah di kawasan bandar raya ini atau pinggir bandar bagi tahun 2018, hari ini.

Murid-murid Tahun Satu pagi ini kelihatan tenang dan bersahaja untuk menjalani sekurang-kurang dua sehingga tiga minggu Program Transisi dan suai kenal bagi merapatkan hubungan pergaulan dan silaturahim di kalangan rakan sekelas yang baharu.

Ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Siburan Batu pagi tadi seorang ibu, Lizawati Ramlee, 34 tahun sempat berkongsi cerita anaknya, Muhammad Airelaiman Sapa, 7 tahun yang bangun awal pagi tanpa dikejutkan dan bersiap sendiri tanpa disuruh.

"Turun sekolah juga dia kelihatan tenang seperti semasa di prasekolah dahulu .. tidak menangis langsung. Senang hati juga saya sebagai ibu melihat dia tenang.

"Tapi anak saya ada sedikit malu, mungkin mengambil masa untuk berkawan dengan murid-murid lain tapi rasanya dia mudah menyesuaikan diri," katanya tadi.

Airelaiman dan Lizawati ketika ditemui Utusan Borneo hari ini.
Airelaiman dan Lizawati ketika ditemui Utusan Borneo hari ini.

Sementara itu, bapa kepada Darrell Bong, Minosse pula senang melihat anaknya mudah bergaul dengan murid-murid lain.

Minnosse pula mempunyai anak saudara yang sama kelas dengan Darrell iaitu Kelvin Eric, kedua-duanya memang akrab sebagai teman sepermainan dan akan berasa serasi dan menyesuaikan diri dengan aktiviti pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Darrell (kanan) dan rakan baiknya, Kelvin (kiri) berposing di hadapan lensa sebagai kenangan hari pertama masuk tahun 1 pagi tadi.
Darrell (kanan) dan rakan baiknya, Kelvin (kiri) berposing di hadapan lensa sebagai kenangan hari pertama masuk tahun 1 pagi tadi.

Di SK St. Thomas juga kanak-kanak kelihatan tenang dan tidak ada yang merengek mahu pulang.

Ratna Saimin, 38 tahun berkata anak bongsunya, Mohamad Zaquan Zaidi berasa teruja dan gembira hendak turun ke sekolah kerana bangun seawal 5 pagi tadi.

"Sepanjang di dalam kereta, beliau ceria sahaja kerana mahu menempuh pengalaman baru, lagipun sebelum ini pernah menghadiri TASKI ABIM di Taman Sri Wangi selama tiga tahun membuatkan dirinya yakin dan cekal," ujarnya.


Sumber daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mencatatkan seramai 240,676 orang murid sudah berdaftar di 1,265 buah sekolah rendah di seluruh negeri.

Jumlah tersebut merangkumi 39,231 orang murid yang telah didaftar untuk kemasukan ke tahun 1 bagi sesi persekolahan selama 214 hari yang juga bersamaan dengan 43 minggu.

Salah seorang ibu yang menghantar anak mereka juga kelihatan santai dan tidak berada lama di dalam kawasan perkarangan sekolah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan.

Tetapi terdapat kanak-kanak yang baharu sahaja memulakan pembelajaran prasekolah perlu dipujuk, menangis dan perlu ditemani ibu bapa sehingga tamat sesi pengajaran dan pembelajaran disini.

Ada pula yang memukul muka cikgu kerana enggan masuk dan bermain dengan rakan-rakan sebaya dan mahu pulang kerumah selepas ditinggalkan oleh ibu bapa masing-masing.

Tidak juga kurang kanak-kanak yang berumur 4 sehingga 6 tahun ini yang sibuk membuat aktiviti bersama rakan-rakannya yang lain.

Dua orang kanak-kanak lelaki pra sekolah sedang bermain ala berlawan di Tadika Methodist, Siburan.
Dua orang kanak-kanak lelaki pra sekolah sedang bermain ala berlawan di Tadika Methodist, Siburan.

Bagi kanak-kanak prasekolah, terdapat pertambahan lapan kelas dengan keseluruhan sebanyak 1,497 buah kelas diwujudkan di 1,114 buah insitusi pendidikan di negeri Sarawak. 

Kelas-kelas merangkumi 1,321 buah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk empat di rumah panjang.

Sebanyak 159 buah kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan SJK, dua buah di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK), empat buah di Institut Pendidikan Guru (IPG), tujuh buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan empat buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).

Jumlah keseluruhan jumlah kanak-kanak yang telah diluluskan bagi memulakan alam persekolahan di prasekolah adalah 23,164 orang (tidak termasuk pendaftaran lewat) pagi tadi.

  • oleh
  • Advertisement