Anda di sini

Manfaatkan kemudahan pendidikan yang disediakan kerajaan: Rohani

Advertisement

PUSA: Kerajaan sentiasa mengambil berat aspek pendidikan rakyat, tidak mengira di bandar mahupun di luar bandar, demikian menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menurut beliau, ini terbukti menerusi penyediaan pelbagai kemudahan pembelajaran untuk kesenangan rakyat.

Kemudahan sedia ada juga dipertingkat dan diperindah, selain disediakan pelbagai peralatan canggih seperti komputer untuk pelajar kita.

Kini terpulanglah kepada para pelajar sendiri untuk menggunakan segala prasarana yang telah kita sediakan itu dan sekiranya mereka tidak memanfaatkannya, maka mereka sendiri akan rugi,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penyerahan Beg Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusa dekat sini hari ini.

Oleh itu, kita menyeru kepada para pelajar kita untuk menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan kerana hanya ilmu yang mampu mengubah kehidupan anda semua pada masa hadapan.

Tanggapan bahawa belajar hingga ke tingkatan lima sahaja sudah mencukupi haruslah ditepis jauh-jauh kerana anda perlulah menimba ilmu yang lebih tinggi sehingga ke peringkat universiti,” jelasnya.

Sekiranya anda berjaya menimba ilmu sehingga ke peringkat universiti nanti, ia adalah satu kejayaan yang besar bagi anda malah menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru-guru yang mendidik anda selama ini.”

Hadir sama pada majlis berkenaan Pegawai tadbir Daerah Kecil Pusa Izarul Japar, Penghulu Awang Razie Awang Zain, Ketua Kampung Mat Jamil serta Penolong Kanan SK Pusa Sajili Eton.

Pada program berkenaan, 104 pelajar daripada SK Pusa dan SK Kalok menerima sumbangan beg sekolah berkenaan.

Advertisement