Anda di sini

Tiga firma modal teroka tunjuk minat ke atas IDE Malaysia

Advertisement
 (Dari kanan) Norhizam, Mohd Daud dan Ketua Pembangunan Ekosistem Pasaran Islam Syahrul Nizar Yahya mengambil gambar semasa satu sidang akhbar oleh MDEC dalam Rangka Kerja IDE Islam yang pertama di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
BUAT KENANGAN: (Dari kanan) Norhizam, Mohd Daud dan Ketua Pembangunan Ekosistem Pasaran Islam Syahrul Nizar Yahya mengambil gambar semasa satu sidang akhbar oleh MDEC dalam Rangka Kerja IDE Islam yang pertama di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Negara pada kedudukan terbaik bagi kuasai pasaran Digital Islam

KUALA LUMPUR: Tiga syarikat modal teroka menunjukkan minat bagi mengambil kesempatan ke atas potensi pertumbuhan ekonomi digital Islam Malaysia, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan MDEC, Norhizam Kadir berkata syarikat-syarikat itu terdiri daripada Captii Ventures, Ethis Ventures dan Quest Ventures.

 Katanya, kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam serta sektor halal meletakkan negara pada kedudukan terbaik bagi menguasai pasaran Digital Islam.

 Rangka Kerja IDE ini merupakan usaha sama antara MDEC, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Hall Amanie Sdn Bhd, katanya kepada satu sidang akhbar mengenai pembangunan Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (IDE) yang pertama bagi negara di sini semalam.

 Norhizam berkata, rangka kerja tersebut adalah sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengukuhkan kepimpinan negara dalam pasaran halal global serta mewujudkan kelebihan yang unik dan berdaya saing bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital.

 “Rangka Kerja IDE ini akan membantu syarikatsyarikat modal teroka untuk memastikan bahawa dana yang dikumpulkan, datang dari sumber yang berlandaskan Syariah, serta bagi memastikan bahawa urus niaga dan pelaburan dana mereka adalah patuh Syariah,” katanya.

 Katanya lagi, rangka kerja itu, yang dijangka siap menjelang suku pertama tahun depan, turut menyediakan garis panduan atau beberapa bentuk pengiktirafan bagi syarikat pemula niaga dalam memastikan produk dan perkhidmatan mereka mematuhi syarat Syariah.

 Pengarah Hall Amanie, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata dalam membangunkan rangka kerja itu, ketiga-tiga pihak berinteraksi dengan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta agensi-agensi kerajaan yang lain.

 Kami bekerja rapat dengan JAKIM kerana mereka adalah pengeluar pensijilan halal Malaysia.

 Kami cuba untuk tidak mencipta semula kaedah, tetapi jika perlu, kami mungkin perlu untuk mengemukakan cadangan baharu bagi menjadikan modal teroka Islam sebagai penyelesaian yang berjaya di Malaysia,” katanya.

 Mohd Daud berkata, perkembangan ekonomi digital Islam yang kukuh di Malaysia akan mewujudkan satu kelebihan yang unik dan berdaya saing kepada negara, termasuk peluang untuk meneroka ekonomi Islam global yang diramalkan akan tumbuh kepada AS$3 trilion menjelang 2021.

 — Bernama

Advertisement