Anda di sini

MPC Wilayah Sarawak tetapkan 18 program baharu tahun depan

KUCHING:Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak telah menetapkan 18 program baharu pada tahun depan dalam memantapkan kecemerlangan tenaga kerja organisasi swasta dan awam.

Pengarah MPC Wilayah Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid berkata ia sejajar dengan usaha pihaknya untuk menjadi sebuah agensi yang cemerlang dan lestari.

Ini untuk golongan pengurusan kanan, pengurusan pertengahan, bukan eksekutif dan pelaksana.

Ia meliputi juga 59 program bagi tahap asas, saranan tahap satu, tahap tiga dan tahap lanjutan.

Pelaksanaan program tersebut bakal memberi manfaat kepada peserta berpandukan kepada rangka kerja yang sistematik MBEF dengan pencapaian individu dan organisasi di dalamnya,” katanya ketika bercakap pada Suppliers Engagement Workshop 2 di pejabatnya semalam.

Tambahnya, dengan rangka kerja yang sistematik itu ramai kalangan peserta yang telah mendapat pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) iaitu sebuah anugerah kecemerlangan perniagaan tertinggi negara daripada MITI.

Semua penerima AKI memperlihatkan prestasi perniagaan yang memberansangkan yang dapat dilihat daripada penerima Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak (CMIEA) 2017.

MBEF juga tegasnya, terbahagi kepada tujuh kriteria iaitu kepimpinan, perancangan, maklumat, pelanggan, pekerja, proses dan hasil.

Pada masa yang sama MPC Wilayah Sarawak bukan sahaja sebagai pelopor kepada program kecemerlangan perniagaan tersebut berpandukan kepada Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF) malah turut mengamalkannya.

Semalam, pihaknya mengadakan Bengkel Suppliers Engagement sebagai inisiatif program kecemerlangan perniagaan MPC Wilayah Sarawak yang fokus kepada kriteria ‘6’ iaitu proses.

Antara lain matlamat utama program itu juga untuk melahirkan sebuah pasukan kerja yang mantap, MPC Wilayah Sarawak dalam rantaian penyampaian perkhidmatan tidak melakukannya bersendirian sebaliknya memerlukan bantuan sumber luar iaitu perunding dan pembekal luar.

Kami mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas iaitu mahu melihat organisasi di Sarawak cemerlang dan menjadi penanda aras bagi Malaysia,” ujarnya.

MPC Wilayah Sarawak telah berjaya meraih keuntungan sebanyak RM1.2 juta hasil daripada program yang dijalankan pihaknya pada tahun ini dan mendapat kedudukan teratas berbanding semua agensi MPC di seluruh negara.