Anda di sini

Kakitangan imigresen disiasat

Advertisement
 Mustafar (duduk kiri) bersama yang lain pada sidang media di Miri, petang semalam.
SIDANG MEDIA: Mustafar (duduk kiri) bersama yang lain pada sidang media di Miri, petang semalam.

Jabatan Imigresen terus siasat kes pembolosan imigran warga Bangladesh di KLIA.

MIRI: Jabatan Imigresen akan terus menyiasat kes pembolosan imigran warga Bangladesh di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) khususnya yang melibatkan kakitangan imigresen.

 Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan untuk penukaran petugas yang melibatkan 40 peratus kakitangan itu adalah proses sementara.

 “Tetapi, bukan semua kakitangan itu adalah yang terlibat dalam kes berkenaan dan tindakan penukaran tersebut juga termasuk untuk proses pusingan kerja.

 “Ini adalah tindakan sementara kerana kita akan terus melakukan siasatan terhadap kakitangan yang disyaki dan jika terdapat bukti yang sah mereka terlibat, maka tindakan selanjutnya pula akan diambil.

 “Kita tidak percaya dengan soal menukarkan mereka akan menyelesaikan masalah kerana ia hanya akan menjadi masalah lagi di tempat lain sekiranya mereka masih mempunyai minda yang sama,” tegasnya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Imigresen yang berlangsung di pekarangan Depot Tahanan Imigresen Bekenu, terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar raya Miri di sini, petang semalam.

 Hadir sama Pengarah Imigresen Sarawak Ken Leben, Pengarah Imigresen Miri Mohd Osman serta dif-dif kehormat lain.

 Menurut Mustafar, pihaknya mahu memastikan kes berkenaan tidak berlaku lagi dan sistem prosedur kerja terus dipertingkatkan.

 “Apa yang penting juga adalah dari segi aspek perundangan, pentadbiran dan mengurus tadbir kaunter itu sendiri.

 “Sebagai contoh, kita akan sentiasa memperkemaskan CCTV yang sedang dan akan dilaksanakan di setiap kaunter imigresen.

 “Dengan adanya CCTV ini, kita tahu setiap gerak-geri mereka dan ini dapat dijadikan sebagai bukti yang boleh diguna pakai sekiranya sesuatu perkara berlaku,” katanya.

 Terdahulu, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai ketua-ketua kaum dan masyarakat serta agensi swasta.

 Ia sebagai pendekatan bersama masyarakat setempat dan turut diadakan sesi dialog bersama tetamu bagi mendalami masalah atau isu yang berkaitan.

 “Antara aktiviti program CSR adalah termasuk pembinaan gelanggang bola tampar yang telah dibina pihak syarikat yang memang ada konsesi dengan pihak imigresen.

 “Kemudahan ini bukan sahaja untuk warga imigresen, malah terbuka kepada tahanan imigresen untuk mengadakan program riadah,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement