Anda di sini

SPAN potong bekalan air haram di tapak projek SUKE

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam menjalankan operasi pemotongan air bekalan air haram di tapak pembinaan projek penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Mohd Fazil Ismail berkata operasi itu dijalankan susulan aduan diterima daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung kes kecurian air.

Beliau berkata pemeriksaan di tapak projek SUKE berhampiran Jalan Kolam Air Lama, Ampang menemui satu sambungan bekalan air tidak sah secara ‘short piece’ pada tetiang meter menggunakan paip poli bersaiz 32mm untuk digunakan rumah rehat pekerja, tandas dan mencuci lori keluar masuk tapak projek.

Kerugian dianggarkan RM348,875 atau 153,015.36 meter padu bagi jumlah kehilangan air tidak berhasil,” katanya kepada media di tapak projek SUKE itu, di sini semalam.

Katanya notis kesalahan telah dikeluarkan oleh Air Selangor kepada pemaju projek SUKE untuk tuntutan ganti rugi bagi kegunaan air tidak sah.

Mohd Fazil berkata SPAN akan mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih setahun.

Operasi sedemikian dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya. — Bernama

Advertisement