Anda di sini

Kembalikan kegemilangan Sarawak dalam SUKMA

Advertisement
 Karim bersedia melakukan gimik perasmian SUKSAR sambil disaksikan (dari kanan) Fazzrudin, Snowdan dan Ong (tiga kiri). — Gambar Chimon Upon
RASMI: Karim bersedia melakukan gimik perasmian SUKSAR sambil disaksikan (dari kanan) Fazzrudin, Snowdan dan Ong (tiga kiri). — Gambar Chimon Upon

Penganjuran SUKSAR manifestasi kesungguhan rampas kembali kejuaraan pada SUKMA Perak 2018

KUCHING: Penganjuran semula Sukan Sarawak (SUKSAR) selepas 27 tahun menjadi manifestasi kesungguhan Sarawak untuk merampas kembali kejuaraan pada temasya SUKMA Perak 2018.

 Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata SUKSAR yang kali terakhir dianjur pada 1990 menjadi landasan penting untuk mencungkil dan mengangkat bakat-bakat baharu sebagai persiapan kontinjen Sarawak menghadapi SUKMA akan datang.

 “Kita telah mengembalikan SUKSAR dengan harapan yang begitu tinggi sekali agar sukan ini dapat membuahkan wakil-wakil yang akan mewakili Sarawak pada SUKMA dan sukan-sukan di peringkat antarabangsa.

 “Bukan satu rahsia lagi, Sarawak mahu mengembalikan kegemilangan sebagai kuasa sukan di Malaysia,” katanya berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan pembukaan SUKSAR I Kuching 2017 di Stadium Tertutup, Petra Jaya semalam.

 Menurut Karim, penganjuran SUKSAR telah membantu menaikkan Sarawak d a l a m arena sukan dan ia dibuktikan dengan kejayaan kontinjen negeri menjuarai SUKMA pada 1990, 1992 dan 1994.

 Sehubungan itu, beliau berharap temasya yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Disember itu dapat mencungkil atlet terbaik yang seterusnya membantu mengembalikan semula kegemilangan Sarawak dalam SUKMA hingga ke pentas sukan antarabangsa.

 “Kita tidak mahu menjadi kontinjen kedua terbaik di Perak.

 Kita mahu kontinjen Sarawak kembali dari Perak pada 2018 sebagai juara SUKMA,” katanya penuh semangat.

 Menjelas lanjut, Karim berkata kerajaan negeri juga telah membelanjakan banyak wang untuk membina prasarana sukan bertaraf dunia.

 “Kerajaan juga telah memperuntukkan tambahan sebanyak RM10.9 juta setahun daripada RM3 juta yang diperuntukkan kepada kementerian untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti sukan.

 “Usaha yang kita lakukan bukan sahaja untuk menjadi kuasa sukan tetapi kerana Sarawak mahu menarik lebih banyak acara sukan bertaraf dunia diadakan di negeri ini,” katanya.

 Tambah beliau, untuk tahun ini sahaja Sarawak telah menjadi tuan rumah kepada 11 acara sukan berstatus antarabangsa antaranya Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2017, Kejohanan Terjun Dunia FINA 2017 dan Tenis Remaja Antarabangsa.

 “Kita juga berjaya menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Asia Masters pada 2019,” katanya.

 Beliau turut mengumumkan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan melibatkan lebih 80 negara dari seluruh dunia dan lebih 1,000 atlet para.

 Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee.

  • oleh
  • Advertisement