Anda di sini

KDNK Malaysia akan tumbuh 5.8 peratus dalam 2017

Advertisement

Kadar pertumbuhan tahunan tertinggi sejak 2014, Bank Dunia menjangkakan ekonomi negara terus kukuh pada 2018

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2017 dijangka akan berkembang sebanyak 5.8 peratus, dari tahun ke tahun, kadar pertumbuhan tahunan tertinggi sejak 2014, kata Pengarah Serantau Bank Dunia (Malaysia dan Thailand), Dr Ulrich Zachau.

 Katanya, Bank Dunia menjangkakan ekonomi negara akan terus kukuh pada 2018 dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus.

 “Kepesatan pertumbuhan telah dirancakkan oleh pengukuhan dalam permintaan domestik, persekitaran pasaran buruh serta gaji yang lebih baik, termasuk permintaan luar untuk produk Malaysia dan eksport komoditi yang semakin meningkat.

 “Perbelanjaan modal juga telah naik disebabkan lonjakan dalam pelaburan swasta dan awam,” kata Zachau dalam sidang media bagi melancarkan edisi ke-17, laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ di sini semalam.

 Memandangkan Malaysia dijangka akan mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, adalah penting untuk meningkatkan pendapatan per kapita semua golongan, terutama kumpulan isi rumah berpendapatan rendah B40.

 Katanya, ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada semua penduduk malah mewujudkan perpaduan sosial merentasi semua kumpulan dalam negara.

 “Bagaimanapun, kesaksamaan tetap menjadi cabaran walaupun pendapatan meningkat dan kerajaan perlu memastikan pertumbuhan negara terus mampan,” katanya.

 Sementara itu, Pakar Ekonomi Negara Bank Dunia, Dr Richard Record berkata unjuran jangka sederhana pada 5.2 peratus KDNK untuk 2018 adalah bersesuaian.

 “Kami amat yakin bahawa jika haluan polisi ekonomi sekarang dikekalkan dengan pengurusan markroekonomi yang bijak berserta pembaharuan yang kukuh, Malaysia akan terus menikmati pertumbuhan yang mantap,” kata Record.

 Beliau juga berkata walaupun Malaysia mempunyai kekuatan untuk kekal stabil pada tahun depan, ia harus mengambil peluang dalam memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti pada kadar yang lebih pantas melalui pendidikan dan penggunaan teknologi digital.

 Pada Oktober lepas, Bank Dunia menjangkakan Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.2 peratus, selepas ramalan awal iaitu sebanyak 4.9 peratus yang dibuat pada Jun.

 — Bernama

Advertisement