Anda di sini

'Bomoh' tukar wang dan barang kemas menjadi kertas akhbar

Advertisement

KUCHING: Lima warga asing dikenali dengan nama jolokan ‘Bomoh Antarabangsa’ diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Merbin Lisa berkata kelima-lima suspek yang merupakan warga China dan Indonesia itu ditangkap di sebuah rumah di Taman Stampin Tengah, di sini pada hari sama laporan polis diterima daripada seorang wanita warga emas selepas ditipu RM14,000.00.

Menurut Merbin, mangsa memberitahu mereka yang memperkenalkan diri sebagai bomoh mendakwa dia dan keluarganya akan ditimpa musibah ketika berjumpa pada 11 Disember di Pekan.

"Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan semua barang kemas miliknya, malah turut menyuruh mangsa mengeluarkan wang dari akaun bank bagi tujuan perubatan dan upacara sembahyang.

"Selepas memperolehi barang-barang tersebut, mangsa kemudian diberikan sebungkus plastik yang konon didalamnya mengandungi barang kemas serta wang mangsa.

"Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan dan dia turut dinasihatkan agar tidak membuka bungkusan tersebut selama tiga hari," katanya.

 

Bagaimanapun, mangsa yang membuka bungkusan tersebut beberapa hari kemudian terkejut apabila mendapati hanya terdapat dua botol air mineral dan suratkhabar lama di dalamnya menyebabkan dia terus membuat laporan polis.

“Susulan itu semua suspek berjaya dijejaki dan hasil serbuan ke atas rumah yang didiami mereka (suspek) turut menemui wang tunai RM6,618.00 dan matawang asing, barang kemas serta dokumen peribadi.

"Turut ditemui ialah barang-barang kemas milik mangsa yang disembunyikan di bawah laci sebuah almari," jelas Merbin.

Kelima-lima suspek yang berusia 27 hingga 52 tahun kemudian ditahan dan direman sehingga 18 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Turut dirampas ialah sebuah kereta yang dipercayai disewa oleh kumpulan tersebut dari sebuah syarikat dari Kota Samarahan," kata Merbin.

  • oleh
  • Advertisement