Anda di sini

‘Supernote’ baharu ditemui

Advertisement

SEOUL: Wang kertas seratus dolar palsu yang berkualiti tinggi telah ditemui di Korea Selatan, menurut pegawai bank semalam, mencetuskan cadangan Korea Utara yang terjejas sekatan antarabangsa mungkin kembali memalsukan ‘supernote’.

Sepasukan pakar pemalsuan di Bank KEB Hana mengesahkan wang kertas AS$100 yang ditemui di cawangan Seoul pada November adalah wang palsu yang hampir mustahil dibezakan daripada wang kertas sebenar, menurut mereka.

“Inilah ‘supernote’ baharu pertama seumpamanya yang ditemui,” kata ketua pusat penipuan bank Yi Ho-joong.

‘Supernote’ sebelum ini bertarikh sama ada 2001 atau 2003 tetapi wang kertas palsu baharu itu bertarikh 2006.

Cara sama termasuk pencetakan timbul dan kemek serta dakwat tidak mudah comot yang lazimnya digunakan untuk wang kertas sebenar telah digunakan untuk menghasilkan ‘supernote’ yang baharu ditemui itu, katanya.

“Anda memerlukan loji bernilai AS$100 juta untuk menghasilkan wang kertas palsu dengan kualiti sebegini dan tiada sindiket jenayah yang sanggup melabur sebanyak itu semata-mata untuk membuat wang dolar palsu.

“Hanya organisasi peringkat kerajaan mampu memiliki loji sedemikian,” tambahnya.

Media berita mencadangkan rejim Kim Jong-un mungkin kembali menghasilkan wang kertas palsu untuk mengatasi sekatan antarabangsa bagi mengekang pembangunan nuklear dan misilnya.

Namun Yi berkata, tiada bukti untuk mengaitkan ‘supernote’ baharu itu dengan Utara walaupun Pyongyang sebelum ini pernah diaibkan dengan penahanan diplomat-nya bersama wang kertas palsu berkualiti tinggi. — AFP

Advertisement