Anda di sini

SukSar 2017 bakal bermula esok

Advertisement
 Snowdan (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika mencuba sistem kod QR sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee (kanan) dan Timbalan Naib Cancelor UNIMAS, Mohd Fadzil Abdul Rahman (dua kiri) semalam.
BAGUS: Snowdan (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika mencuba sistem kod QR sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee (kanan) dan Timbalan Naib Cancelor UNIMAS, Mohd Fadzil Abdul Rahman (dua kiri) semalam.

KUCHING: Kira-kira 1,000 atlet dari seluruh bahagian negeri telah tiba di perkampungan Sukan Sarawak (SukSar) 2017 untuk menyertai temasya itu berlangsung dari 14 hingga 17 Disember ini.

Semua atlet dibahagikan kepada empat zon ditempatkan di Kolej Rafflesia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kontinjen terbabit ialah Zon Selatan (Kuching, Samarahan, Serian), Zon Tengah (Sibu, Kapit, Mukah), Zon Utara (Miri, Bintulu, Limbang) dan Zon Barat (Sarikei, Betong, Sri Aman).

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan semasa mangadakan lawatan di perkampungan sukan itu semalam melahirkan rasa puas hat i dengan fasiliti disediakan pengelola.

Menurutnya, penggunaan sistem Kod QR buat pertama kali bagi memantau pergerakan atlet dan pegawai juga disambut baik bagi menjamin keselamatan mereka terlibat sepanjang penganjuran SukSar 2017.

“Apa yang paling penting, kebajikan mereka yang tinggal di perkampungan sukan itu sentiasa terjaga kerana ramai atlet masih muda turut berada di sini buat pertama kalinya.

“Kita mahu mereka merasakan seperti berada di rumah sendiri dan selesa sepanjang terlibat dalam SukSar 2017 bermula 14 hingga 17 Disember ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Snowdan berkata, penganjuran semula SukSar 2017 selepas terhenti selama 27 tahun amat penting sebagai landasan memilih atlet-atlet terbaik mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA 2018) di Perak.

Katanya, bukan itu sahaja SukSar 2017 juga menjadi medan pencungkilan atlet-atlet pelapis yang bakal menjadi penyambung kepada atlet-atlet sedia ada.

“Kita mahu mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan atau antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Olimpik,” jelasnya.

SukSar 2017 akan mempertandingkan 14 acara sukan iaitu angkat berat, badminton, berbasikal, bola baling, boling padang, judo, karate, memanah, muaythai, olahraga, ragbi, renang dan sepak takraw wanita.

Ini termasuk empat acaraacara sukan untuk atlet para iaitu renang, olahraga, angkat berat dan memanah.

Kebanyakan acara diadakan di Kompleks Sukan Sarawak, Petra Jaya manakala acara petanque diadakan di Santubong, angkat berat di Stadium MBKS, Jalan Pending, ragbi 7-sebelah di Padang Song Kheng Hai, Jalan Padungan, acara badminton di Dewan Sukan UNIMAS dan muaythai di Summer Mall, Kota Samarahan.

Majlis perasmian akan diadakan pada 14 Disember di Stadium Perpaduan, Petra Jaya manakala penutupan dijadualkan pada 17 Disember di venue sama.

  • oleh
  • Advertisement