Anda di sini

Rebut peluang ekonomi dan cipta tarikan unik di Balingian

Advertisement
 Pasar Lama Balingian.
LAMA: Pasar Lama Balingian.

Bahagian II

SELAIN perkembangan ekonomi di Kuala Tatau, penduduk Balingian turut menerima tempias besar ekonomi dengan pembukaan Jambatan Kuala Tatau serta pembinaan jalan pesisir yang menghubungkan daerah itu ke Bintulu.

Bukti ini jelas apabila pada hari pertama pembukaan jambatan terbabit 2 Disember lalu menyaksikan kehadiran ramai orang luar yang memasuki Balingian, terutama dari Bintulu.

Sebelum ini ada yang belum pernah sampai ke Balingian dan kali ini berkesempatan melihat sendiri keadaan perkampungan serta penempatan di daerah kecil itu.

Justeru apabila menjadi tempat tumpuan dan persinggahan maka ekonomi Balingian perlu dijana dan penduduknya perlu memikirkan cara untuk menggerakkan aktiviti yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

Hakikatnya daerah kecil itu agak lesu sebelum ini tetapi kali ini menampakkan sinar baharu selepas rangkaian perhubungan jalan raya dan jambatan bersambung dari bandar besar ke daerah berkenaan khususnya yang menghubungkan Bintulu, Kuala Tatau dan Balingian.

Mengulas lanjut mengenai kesan ekonomi ke atas Balingian itu, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parish Balingian, Ali Adenan berpendapat pembukaan jambatan Kuala Tatau tidak dinafikan memberi nikmat besar kepada penduduk tempatan di Kuala Balingian, Balingian dan Bahagian Mukah termasuk Bahagian Bintulu.

“Memang banyak kebaikannya sebab pergerakan penduduk dari Bintulu ke Balingian dan Mukah lebih dekat dengan adanya jambatan itu termasuk rangkaian jalan raya menghubungkan Kuala Tatau dan Bintulu. Apabila jalan raya dapat dilalui, penduduk tempatan dapat membawa keluar hasil tangkapan ikan, hasil hutan, pelbagai produk kampung dan hasil tanaman mereka ke bandar khususnya ke Bintulu serta tempat lain untuk dipasarkan.

“Ia memberi impak ekonomi yang sangat baik kepada penduduk sekitar dalam pemasaran produk dari kampung di luar bandar kepada penduduk di bandar,” jelas beliau semasa ditemu bual.

Menambahkan lagi usaha untuk melonjak ekonomi penduduk Balingian katanya, ada baiknya diwujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) atau Pasar Mini atau satu tempat khusus untuk menjual produk kampung yang mana peluang terbuka luas ini perlu diceburi penduduk di Balingian, Kuala Balingian begitu juga di Kuala Tatau bagi memudahkan mereka memasarkannya di daerah sendiri atau memudahkan orang ramai membeli barang pada satu tempat sebagai pusat sehenti.

“Pendekatan ini sesuai tetapi usaha tersebut belum ada setakat ini dan diharap ada tindakan susulan daripada penduduk untuk merebut peluang ini kerana sekiranya ada tempat seumpamanya untuk memasarkan produk atau hasil yang berkaitan, ia amat membantu menjana dan melonjak ekonomi penduduk kampung,” katanya.

Kepentingan lain kemudahan perhubungan itu juga katanya, dari segi tali persaudaraan akan mengukuhkan ikatan silaturahim penduduk sama ada di kawasan Bintulu, Kuala Tatau, Balingian dan Mukah termasuk tempat lain di kawasan berdekatan jalan penghubung tersebut.

Dalam pada itu, Penghulu Shahdan Sahari yang mewakili penduduk Balingian berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya membina jambatan Kuala Tatau yang memudahkan perjalanan bukan sahaja untuk penduduk Balingian, Kuala Tatau, Bintulu dan Mukah bahkan untuk orang ramai keseluruhannya.

Kemudahan itu katanya, merupakan satu-satunya perhubungan kawasan luar bandar dan pesisir yang mampu membantu meningkatkan pendapatan dan menjana ekonomi penduduk di kawasan Balingian termasuk Kuala Tatau.

“Perhubungan silaturahim keluarga juga akan bertambah rapat melalui kekerapan kunjungan antara keluarga kerana sebelum ini ada yang lama terpisah dan jarang menziarahi antara satu sama lain atas faktor ketiadaan rangkaian jalan raya, jarak perjalanan yang jauh ataupun dipisahkan oleh sungai besar di kawasan terbabit.

“Apabila ada jambatan serta jalan raya penghubung seumpamanya ia membuka ruang dan lembaran baharu kepada penduduk dalam perspektif ekonomi terutama kepada para peniaga kecil, petani dan pekebun memasarkan produk jualan mereka ke bandar sekali gus mampu menambah pendapatan keluarga.

“Ini pada asasnya memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Saya percaya dengan pembukaan jambatan Kuala Tatau tersebut akan lebih memberikan kesan ekonomi yang cukup baik kepada Balingian, Kuala Balingian, Kuala Tatau dan seterusnya Bintulu atau kawasan sekitarnya. Kemudahan sebegini yang diperlukan oleh rakyat kerana ini adalah satu-satunya cara untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Katanya, daerah kecil Balingian juga amat memerlukan pelbagai kemudahan seperti di bandar dengan melihat kepada populasinya yang semakin meningkat, sekurang-kurangnya dua tiga tahun ini biarlah kerajaan membuat tempat jual khusus barang keperluan harian atau kalau ada ahli perniagaan berkemampuan membuka sebuah pasar raya lengkap menjual pelbagai produk makanan keperluan harian dengan harga berpatutan untuk penduduk Balingian.

Bukan menidakkan kewujudan pasar raya di Bahagian Mukah namun katanya, faedah dari segi pengangkutan dan mendapatkan barang di pasar raya yang diwujudkan di Balingian mungkin memberi sesuatu yang baik kepada penduduk di Balingian yang sekurang-kurangnya tidak perlu untuk terlalu kerap keluar dari daerah itu ke Mukah yang memakan masa lebih kurang satu setengah jam atau dua jam perjalanan ulang-alik hanya semata-mata untuk membeli barang keperluan harian.

“Pembinaan Tamu atau pusat persinggahan penjualan hasil hutan, laut dan sungai mungkin sesuai difikirkan apabila melihat rangkaian jalan raya pada masa sekarang menghubungkan dari Mukah, Balingian dan Bintulu yang semakin singkat perjalanannya.

“Balingian mempunyai banyak hasil hutan, hasil sungai dan orang yang datang dari Mukah atau tempat lain tentu ingin membeli hasil dan produk kampung di sini terutamanya udang sungai atau udang galah yang begitu popular di Balingian.

“Hasil sungai seperti udang ini dapat dipasarkan dengan lebih baik sekiranya ada kemudahan Tamu seumpamanya,” katanya sambil menambah nelayan, petani atau pekebun kecil juga dapat keluar dari Balingian memasarkan produk mereka melalui rangkaian perhubungan jalan raya yang ada.

 (Dari kiri) Asri, Baharin dan Abdul Rahman.
SEPENDAPAT: (Dari kiri) Asri, Baharin dan Abdul Rahman.

Sementara itu, Asri Shawal berkata, ekonomi di daerah kecil Balingian akan berubah dalam masa terdekat dengan adanya sokongan pembangunan untuk menjadikan ekonomi

di daerah itu bergerak ke hadapan terutamanya dengan rangkaian jalan raya baharu yang dibina kini telah memendekkan perjalanan dari bandar-bandar besar ke kawasan luar bandar tersebut.

“Melonjak ekonomi Balingian dapat dilakukan dengan pengwujudan sebuah ‘market’ untuk pertanian seperti Tamu. Sekiranya pasar besar dibina mungkin orang tidak akan ke Balingian disebabkan ada pasar-pasar besar di bandar Mukah.

“Maka sesuatu yang dapat menarik perhatian orang ramai perlu ada untuk Balingian memandangkan Balingian terletak di tengah-tengah negeri ini. Seperti pasar baharu di Balingian yang telah ada sepatutnya dibangunkan semula dan semua peniaga perlu digerakkan ke pasar baharu tersebut untuk menjalankan perniagaan mereka supaya perkembangan ekonomi lebih tersusun.

“Memang aktiviti perniagaan ada di pasar lama dekat tebingan sungai Balingian tetapi kita tidak seharusnya meletakkan kemajuan kekal seperti keadaan sekarang terutamanya di pasar lama.

“Kita ada kemudahan dan pasar baharu justeru perlu mencari jalan bagaimana untuk membangunkan semula serta menarik kunjungan orang ramai. Sama ada kita akan membuat Pasar Tamu di kawasan itu ia amat bersesuaian kerana kawasan itu akan menjadi laluan orang ramai dari Bintulu ke Mukah dan orang ramai pasti akan singgah di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, memang keadaan ekonomi tidak begitu baik pada masa sekarang dengan harga barang mahal tetapi kalau boleh peniaga tidak terlampau mengambil kesempatan daripada keadaan itu apabila ada orang luar mengunjungi atau singgah di daerah kecil Balingian.

“Contohnya jualan udang kalau harga ditetapkan pada kadar RM40 sekilogram dan

di Bintulu berharga RM60 sekilogram, jika peniaga menaikkan harga yang sama ia akan memberi kesan tidak baik kepada penduduk kampung yang berpendapatan rendah dan sederhana,” jelasnya.

Disebabkan itu katanya, harga barang perlu dikawal supaya peniaga tidak mengambil kesempatan memandangkan orang luar yang datang ke Balingian hanya sekali sekala dan bukan setiap masa, mungkin setahun sekali atau beberapa tahun sama ada untuk singgah ke Balingian atau Mukah atau ke penempatan kawasan tengah.

“Kalau kita boleh membuat satu tarikan unik kepada pengunjung ia mampu membangun ekonomi penduduk dan kita perlu memikirkan cara untuk membangunkan ekonomi di Balingian, namun pada hakikatnya bercakap lebih senang daripada melakukannya. Kalau kawasan perkampungan Balingian dibuka menjadi lebih besar untuk penempatan baharu kita akan dapat melihat perubahannya sekali gus orang luar tidak akan melihat Balingian hanya seperti sebuah pekan dan pasar lama di tebingan Sungai Balingian.

“Pada saya ekonomi Balingian yang boleh dilonjakkan dengan aktiviti menjual hasil hutan, sayur-sayuran, hasil sungai, laut dan sebagainya. Sekiranya ingin menjual pakaian atau baju mungkin seminggu sekali orang akan membeli baju yang tidak akan mendatangkan keuntungan banyak kepada pengusahanya sebab ‘tiada kuasa beli’.

“Kuasa beli yang kuat dengan banyak pilihan bagi penduduk adalah di pasar raya-pasar raya besar di bandar Mukah,” katanya.

Begitupun katanya, perlu diwujudkan kemudahan penginapan di Balingian, mungkin sebuah hotel bajet memandangkan tempat penginapan yang ada terdapat di kawasan bandar Mukah dan yang melalui atau ingin singgah bermalam di Balingian untuk merehatkan diri tentunya ramai dari kalangan orang luar yang dalam perjalanan ke Mukah atau Oya serta kawasan berdekatan.

“Kita tidak mempunyai pusat peranginan yang betul-betul mampu menarik perhatian pengunjung cuma yang ada sebuah di sini

dikenali sebagai Tunjang D’Chalet Sungai Sebuloh Balingian. Kalau boleh pengusaha yang ingin membina pusat peranginan atau ‘resort’ perlu membina rekabentuk penginapan yang mampu menarik perhatian pengunjung serta mempelbagaikan aktiviti di kawasan atau pusat terbabit.

“Bina sebuah tempat untuk memancing

di kawasan ‘resort’ atau kawasan penginapan berdekatan tebingan sungai Balingian tetapi keselamatan penginap atau pengunjung mesti diutamakan. Tidak perlu menggunakan perahu untuk memancing tetapi cukup sekadar memancing di kawasan tebingan sungai yang telah dibina tersebut.

“Maka fokus orang luar tentunya datang ke Balingian sekadar untuk memancing udang atau ikan sungai dengan yuran masuk ke tebingan khas yang disediakan untuk memancing ditetapkan harga mengikut jam atau mengikut hari sama ada RM1, RM5 sejam dan seterusnya termasuk pengusaha menyediakan umpan dan kail untuk pengunjung.

“Sediakan juga tempat duduk dan meja kepada pengunjung atau pemancing yang mungkin membawa bekalan makanan sendiri sambil menunggu pancing mengena.

Tarikan sebegitu yang akan menjadi perhatian orang luar untuk datang dan peluang itu perlu direbut oleh penduduk di Balingian sekali gus perlu mempersiapkan diri untuk merealisasikan idea tersebut,” katanya.

Selain itu, bagi Abdul Rahman Yusof, penduduk Balingian perlu ada komitmen serta perlu sehati sejiwa untuk menggerakkan ekonomi yang ada misalnya menjual hasil kampung, sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan laut yang diperolehi termasuk kuih-muih yang dihasilkan.

“Perniagaan yang diusahakan itu akan mencapai kejayaan dengan syarat penduduk sepakat dan bersatu untuk membuat satu lokasi tetap dan mengenal pasti dari sekarang lokasi sesuai untuk berniaga yang mampu menjadi tumpuan. Saya tidak

pasti tempat dan belum melihat keadaannya serta belum nampak lagi tempat laluan pengguna jalan raya dari Bintulu, Kuala Tatau, Balingian seterusnya ke Mukah dan kawasan sekitarnya yang sesuai untuk berhenti singgah di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R),” ujarnya.

Tetapi yang utama katanya, bagi penduduk Balingian, mereka perlu memberi komitmen penuh terhadap aktiviti perniagaan yang ingin dijalankan contohnya yang membuat kuih-muih mesti membekalkan hasil jualan secara berterusan dan gerai jualan mesti dijaga dengan sebaiknya sambil menunggu kehadiran pembeli.

“Seperti di Mukah ada bangunan khas yang menjual kuih-muih kering dan ada peniaga tetap yang menjaganya kekal popular hingga sekarang serta cukup dikenali sebagai tempat menjual kuih-muih tradisi Melanau iaitu tebaloi, sagu dan sebagainya, bahkan orang datang ke situ dan tertumpu

di kawasan itu,” katanya.

Justeru katanya, kita mesti membuat satu tanda dagangan atau ‘trademark’ di Balingian untuk mewujudkan tempat berniaga begitu.

“Apabila menciptanya, kita mesti mengeluarkan modal terlebih dahulu dan mencari kuih-muih dari luar yang mampu dijual seperti sagu, tebaloi, kuih sepit dan sebagainya untuk dijual di satu tempat khusus di Balingian sekiranya kita tidak mempunyai kepakaran membuatnya.

“Tempat yang diwujudkan ini dilihat sebagai satu kemudahan penting kepada penduduk terutama orang luar yang tidak sempat atau tidak berkesempatan membeli kuih-muih di bandar Mukah.

“Dalam hal ini perlu didirikan pondok atau gerai yang sesuai untuk peniaga kecil

di Balingian dan meminta agar wakil rakyat

di kawasan Balingian membantu dalam merealisasikan hasrat ini. Pada masa sekarang kita belum pasti tempat yang sesuai dan betul untuk mewujudkan pusat perniagaan seumpamanya atau pusat transit bagi pengunjung.

“Kalau ada tempat sesuai, kita berharap ia dapat dibina segera mungkin dalam skala kecil untuk kawasan berniaga yang bukan sahaja menjana ekonomi penduduk setempat bahkan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk Kampung Pulat, Kampung Suyong, Kampung Masjid, Kampung Lintang dan Kampung Baru di Balingian berikutan mereka yang berniaga dikumpul di satu tempat yang sama,” tambahnya.

Jelasnya, kapasiti pembinaan tempat itu tidak perlu terlalu besar dan sewaannya mungkin RM20 atau RM30 untuk sebuah gerai mengikut kemampuan kerana di beberapa tempat, kita ada melihat cara pihak tertentu membina sebuah kawasan berniaga yang dikumpul dan dijual di satu sama seperti barang-barang pertanian, kuih-muih dan sebagainya serta diwujudkan kawasan rehat untuk pengunjung.

Dalam nada yang sama, Baharin Osman pula menyarankan agar penduduk Balingian mengambil peluang daripada pembukaan jambatan Kuala Tatau dan rangkaian perhubungan jalan raya baik dari Bintulu, Kuala Tatau hingga ke Balingian memandangkan perjalanan singkat dari Bintulu ke Balingian yang hanya memakan masa satu jam atau antara satu jam setengah dan seterusnya Balingian ke Mukah yang memakan masa lebih kurang 40 minit.

“Penduduk Balingian perlu memikirkan satu ‘signature’ atau keunikan yang ada di Balingian contohnya Oya antara tarikannya adalah Mi Udang. Saya sendiri pergi ke Oya semata-mata untuk memakan Mi Udang dan ada juga orang ke Oya kerana mahu membeli pelbagai barang yang dijual

di Pekan Sabtu, Oya. Jadi penduduk dan wakil rakyat Balingian kena fikir apa yang unik untuk Balingian supaya dapat menarik orang luar datang ke sini,” katanya.

Mengenai keunikan itu katanya, biar orang Balingian sendiri fikir apa yang sesuai untuk mencipta satu tarikan kepada orang luar untuk datang ke daerah tersebut.

  • oleh
  • Advertisement