Anda di sini

Piala Perpaduan Samarahan hangatkan acara muaythai SUKSAR 2017

Advertisement
 

KOTA SAMARAHAN: Para peminat sukan muaythai tempatan bukan sahaja akan menyaksikan aksi-aksi mendebarkan pada Sukan Sarawak (SUKSAR) kali pertama minggu ini, bahkan akan disajikan juga dengan perlawanan ‘Superfight Pro’ Piala Perpaduan Samarahan 2017.

Acara sampingan ini merupakan anjuran Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Samarahan dan pengurusan Summermall, dengan sokongan Sekretariat SUKSAR di bawah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Sebanyak enam perlawanan ini akan berlangsung sepanjang dua hari, bermula Jumaat ini (15 Disember) melibatkan para pesaing dari Kuching, Samarahan, Lundu, Sibu, Bintulu dan Miri serta dua pencabar dari luar negara.

 Jumaat (berdiri barisan hadapan, lima dari kanan) bersama atlet dan pegawai sukan muaythai SUKSAR 2017 dalam sesi bergambar sebelum bermulanya sesi timbang berat di Summermall.
KAMI SUDAH SEDIA: Jumaat (berdiri barisan hadapan, lima dari kanan) bersama atlet dan pegawai sukan muaythai SUKSAR 2017 dalam sesi bergambar sebelum bermulanya sesi timbang berat di Summermall.

Menurut Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, penganjuran Piala Perpaduan Samarahan kali ini adalah bertujuan untuk memeriahkan acara muaythai dalam SUKSAR 2017, di samping memberi pendedahan kepada atlet-atlet amatur untuk menyaksikan situasi sebenar dalam satu-satu pertarungan profesional.  

“Jadual acara muaythai dalam SUKSAR 2017 berlangsung dari 14 hingga 17 Disember di sebelah siangnya. Jadi kami ingin meneruskan kemeriahannya, di mana perlawanan Piala Perpaduan Samarahan ini akan bermula pada pukul 7 malam.

“Pada kesempatan ini juga saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sekretariat SUKSAR di bawah seliaan Dr Ong Kong Swee (Pengarah MSNS) kerana memberi ruang dan kebenaran kepada kami untuk mengadakan acara ini.

“Saya melihat perlawanan Piala Perpaduan Samarahan ini sebagai satu ruang yang sangat bagus kepada para atlet muda kita untuk mempelajari teknik-teknik daripada pemain-pemain senior. Kami mahu mereka melihat adanya kesinambungan dalam sukan ini selepas mereka melepasi arena amatur sebaik mereka mencapai umur 21 tahun,” beliau memberitahu Utusan Borneo ketika ditemui pada sesi pemeriksaan kesihatan dan timbang berat para atlet muaythai SUKSAR 2017 bertempat di Summermall sini awal hari ini.

 Jumaat (berdiri, kanan) meninjau tempat di mana para pegawai perubatan bertauliah ditempatkan oleh Sekretariat SUKSAR 2017 untuk membuat pemeriksaan ke atas para atlet.
ASPEK PALING UTAMA: Jumaat (berdiri, kanan) meninjau tempat di mana para pegawai perubatan bertauliah ditempatkan oleh Sekretariat SUKSAR 2017 untuk membuat pemeriksaan ke atas para atlet.

Enam perlawanan kategori berat akan dipertandingkan untuk Superfight Pro ini, termasuk dua saingan antarabangsa.

Cabaran 75 Kilogram akan menyaksikan pertarungan di antara Kong Hau Jin dari Eagle Gym Sibu dan Azeem Nurhakim dari Persatuan Muaythai UiTM Sarawak, manakala Roslan Johani dari Phoenix Mranek Samarahan akan bertemu Abang Mohd Uqail Abang Mustapa dari Warrior Miri dalam perlawanan 64 Kilogram. Kategori 51 Kilogram pula akan melibatkan Pratasarthee Punniyamoorthy dari SS Fighters Kuching dan Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya dari PS Muaythai Bintulu.

Ketiga-tiga perlawanan ini akan berlangsung Jumaat ini.

Pada Sabtu pula, dua perlawanan jemputan antarabangsa akan diadakan melibatkan Fadzly Julai dari Warrior Gym Miri dengan lawan beliau Dennis Nosaev dari Russia dalam Kategori 63 Kilogram, serta Mohd Eswandy Hassan dari Muaythai Kenyalang Sarawak menentang Suphan Kaeosisaet dari Thailand dalam Kategori 65 Kilogram.

Satu lagi perlawanan khas Superfight Pro 58 Kilogram Piala Summermall pada hari yang sama akan menyaksikan peninju muaythai berpengalaman Heendrew Lois dari Lundu bertarung dengan Wan Syamrizal Wan Jesmi dari Phoenix Mranek Samarahan.

Untuk SUKSAR 2017 pula, seramai 52 atlet remaja seluruh Sarawak akan bertanding dalam 13 perlawanan sepanjang empat hari bermula esok (14 Disember) di mana sembilan kategori berat di antara 45 dan 71 Kilogram adalah untuk lelaki, manakala empat kategori berat 45 ke 54 Kilogram adalah untuk perempuan.

 Jumaat (kiri) turut mengawasi sesi timbang berat para atlet muaythai SUKSAR 2017.
TELITI: Jumaat (kiri) turut mengawasi sesi timbang berat para atlet muaythai SUKSAR 2017.
  • oleh
  • Advertisement