Anda di sini

Penerbangan terus Pontianak-Miri-Pontianak diharap merancakkan sektor pelancongan

Advertisement
 Pesawat XN 770 dari Pontianak tiba buat julung kalinya di LTM jam 4.15 petang semalam, disiram dengan air sebagai tradisi sambutan ketibaan pesawat. 
TRADISI: Pesawat XN 770 dari Pontianak tiba buat julung kalinya di LTM jam 4.15 petang semalam, disiram dengan air sebagai tradisi sambutan ketibaan pesawat. 

MIRI: Pelancaran penerbangan antarabangsa terus dari Indonesia ke Sarawak bagi sektor Pontianak-Miri-Pontianak diharapkan merancakkan sektor pelancongan kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia khususnya bagi Kalimantan Barat dan utara Sarawak. 

Konsulat Indonesia di Kuching Jahar Gultom berkata pelancaran penerbangan antarabangsa kedua dari Indonesia oleh Xpress Air itu diharap dapat meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara di samping meningkatkan jumlah pelancong.

“Sejak 2015 dan 2016, Sarawak dan Kalimantan Barat mencatat peningkatan jumlah pelancong dan besar harapan kita agar penerbangan antarabangsa ini meningkatkan jumlah pelancong serta menjimatkan masa.

“Sedangkan melalui penerbangan Xpress Air hanya perlu sejam setengah untuk tiba di Pontianak dan seterusnya sambungan penerbangan ke Bandung dan Jogjakarta,” katanya.

“Begitu juga Kalimantan Barat, selain menyasarkan pelancong dari utara Sarawak dan negara Brunei, khidmat ini juga menyediakan penerbangan pekerja-pekerja Indonesia yang ramai di Bintulu, Miri dan Brunei,” katanya ketika menyambut ketibaan penumpang penerbangan sulung Xpress Air dari Pontianak ke Miri semalam. 

Seramai 108 penumpang termasuk tujuh kru pesawat Xpress Air, penerbangan XN 770 dari Pontianak ke Miri selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri (LTM) di sini jam 4.15 petang semalam diketuai Pengarah Xpress Air HF Filman. 

Ketibaan mereka disambut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan  Datu Ik Pahon Joyik, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii serta Residen Bahagian Miri, Sherrina Husaini dan wakil Kedutaan Indonesia di Brunei Darussalam Eko Himawan.

Syarikat penerbangan milik Indonesia, Xpress Air melancarkan penerbangan sulungnya ke Miri semalam mengadakan khidmat penerbangan pergi balik Pontianak-Miri-Pontianak sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Sabtu.

Pada sidang medianya, Filman memberitahu, Xpress Air menggunakan pesawat Boeing 737-300 dengan 128 tempat duduk turut mengadakan penerbangan sambungan ke Bandung dan Jogjakarta menerusi laluan Miri-Pontianak.

Ketika ditanya, sama ada Xpress Air merancang penerbangan dari destinasi lain seperti Bandung, Jogjakarta atau Bali secara terus ke Miri, Filman menjejaskan pihaknya perlu mengkaji terlebih dahulu sambutan terhadap penerbangan sulung itu dan sambungannya ke dua destinasi lain (Bandung dan Jogjakarta) sebelum memutuskannya. 

“Kita lihat (kaji) terlebih dahulu sambutan Pontianak-Miri-Pontianak ini, sebelum boleh merancang penerbangan terus lain. 

“Bagi penerbangan ke Bali (Miri-Bali atau sambungan ke Bali), pada ketika ini sukar dilakukan kerana terlalu banyak penerbangan ke sana dan jika Xpress Air merancang mewujudkan laluan ke Bali, maka perlu memohon dengan pihak berkuasa penerbangan di sana (Kerajaan Indonesia) terlebih dahulu,” katanya sambil menambah, ketika ini Xpress Air tiada memohon laluan ke Bali.

Advertisement